Selasa, 11 Julai 2017

Yayasan 1MDB taja 1,100 jemaah haji

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Seramai 1,100 orang terpilih menunaikan ibadah haji menerusi Program Khas Haji Perdana Menteri yang ditaja Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tahun ini. 
 
Majlis penyerahan surat tawaran haji itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini. 
 
Jemaah yang terpilih itu terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari seluruh negara. 
 
Perdana Menteri, dalam ucapannya, berkata di sebalik pelbagai tohmahan terhadap 1MDB, program terbabit berjaya menghantar 5,711 jemaah dengan tajaan lebih RM57 juta sejak lima tahun lalu. 
 
Beliau berkata, rakyat tidak wajar mengambil bulat-bulat tuduhan yang dilemparkan terhadap 1MDB kerana sebahagian daripada keuntungan digunakan untuk program kebajikan. 
 
"Untuk tajaan haji saja kita sumbang RM57 juta, malah Yayasan 1MDB turut memberi bantuan perumahan dan pendidikan kepada rakyat selain bantuan kepada mereka yang ditimpa malapetaka, beratus-ratus juta kita bantu, tapi ini orang tidak sebut. 
 
"Jangan hanya kerana 1MDB kita nak jatuhkan kerajaan, kalau ada yang tidak betul, kita betulkan, kalau ada orang buat salah, kita hadapi. Tapi takkan kerana perkara itu kita nak runtuhkan kerajaan, runtuhkan institusi yang telah membangunkan negara, bela umat Islam dan agama," katanya.
 
 

Tiada ulasan: