Rabu, 5 Julai 2017

Perkhidmatan bas percuma bukan projek atas angin

Berita Daily Staff

Terdapat beberapa pihak dari luar cuba menghasut pengundi DUN Rawang

KUALA LUMPUR: Seorang ahli pembangkang hari ini menafikan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk Rawang bukan sebuah projek ‘atas angin’ .

Menurutnya, terdapat beberapa pihak dari luar cuba menghasut pengundi DUN Rawang dalam usaha mencemarkan nama baik Adun kawasan tersebut Gan Pei Nei.

Dalam satu kenyataan, Dr A Kumaran, pegawai perhubungan Jabatan Kerajaan Perseketuan dan Negeri DUN Rawang, menjelaskan bahawa perkhidmatan bas percuma kepada penduduk Rawang telah pun siap dan bakal akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali pada 29 Julai ini.

“Projek itu telah siap. Apa yang dikatakan oleh beberapa pihak luar adalah bohong,” tegas beliau.

“Kerajaan Negeri berkata projek tersebut akan siap pada Julai. Apakah itu bermakna kalau tiada perkhidmatan bas percuma pada 1 Julai, maka Yb Gan Pei perlu berundur. Bagi saya ini satu kenyataan yang sangat lucu dan cetek politik,” tambah Kumaran lagi.

Terdahulu semalam, Pertubuhan Kebajikan dan Kemajuan Masyarakat Tanjung Malim dan Slim River hari ini mendesak Gan Pei supaya berundur sekiranya tidak dapat menepati janji kepada rakyat Rawang.

Pertubuhan tersebut mendakwa Gan Pei gagal menepati janji kepada penduduk Rawang dan turut menyoal dana RM1.2 juta yang diperuntukkan kepada projek ini.

Tiada ulasan: