Ahad, 9 Julai 2017

PAS kurang senang arahan RoS kepada DAP

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
TEMERLOH: PAS melahirkan rasa kurang senang dan bimbang dengan tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang menggesa DAP mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang baru.
 
Ini kerana Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa tindakan RoS itu akan mengundang cakap-cakap bahawa ia dipengaruhi oleh pihak tertentu.
 
Malah katanya lagi, arahan itu sepatutnya dikeluarkan RoS sejurus selepas pemilihan itu diadakan.
 
"Kita bimbang orang akan tuduh ada agenda politik dalam agenda RoS.
 
"Apa yang diminta RoS supaya dibuat pemilihan semula itu berlandaskan dari segi peraturan. Namun isunya (mengapa) selepas empat tahun. Sepatutnya dari awal lagi DAP diarahkan untuk mengadakan pemilihan. 
 
"Kini selepas empat tahun apatah lagi berdekatan dengan pilihan raya umum maka ia menimbulkan spekulasi dan tanggapan negatif masyarakat," katanya kepada Antarapos ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka PAS di Kuala Krau, semalam.
 
RoS pada Jumaat lalu mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan jawatankuasa CEC yang baru.
 
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata pemilihan yang baru perlu memandangkan pelantikan yang dibuat pada 29 September 2013 tidak sah.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyarankan agar tindakan yang diambil RoS perlu selari dengan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan DAP.
 
Mohammad Razin bertegas RoS hanya mengiktiraf senarai jawatankuasa DAP jika parti itu melakukan pemilihan yang baru.
 
Bekas pemimpin DAP, Zulkifli Mohd Noor pada semalam berpendapat parti itu sepatutnya dibatalkan pendaftaran oleh RoS, apatah lagi dilihat tidak adil terhadap ahli-ahli parti yang membuat aduan dan kemudiannya disingkirkan.
 
Kata Mohd Amar lagi, walaupun kini PAS sudah tidak 'sebulu' dengan DAP tetapi dalam hal ini ia perlu ditangani secara profesional dan parti yang didominasi kaum Cina itu wajar diberi peluang untuk diperbetulkan semula.
 
"Kita tak boleh mencadangkan DAP diharamkan hanya kerana ia melawan PAS. Dalam sebuah negara demokrasi, mana-mana parti boleh wujud. Sesuatu parti atau pertubuhan boleh diharamkan jika ia melanggar peraturan negara. 
 
"Jika ia ada kesilapan teknikal atau kesalahan dalam mengendalikan parti saya rasa mereka perlu diberi peluang untuk 'remedy'," ujar Mohd Amar.
 
Pemilihan DAP pada 15 Disember 2012 dianggap terbatal selepas berlaku kesilapan teknikal.
 
Parti itu kemudiannya mengadakan pemilihan semula pada 29 September 2013, namun ia mencetuskan kontroversi apabila perwakilan mendakwa berlaku kepincangan.
 
Mandat anggota CEC dan pemimpin yang lain berakhir sejak September tahun lalu namun perlembagaan parti itu membenarkan untuk pemilihan yang baru ditunda sehingga 18 bulan. 


Tiada ulasan: