Sabtu, 8 Julai 2017

Derita bekas peninju negara dijangkiti HIV tanpa dosa

Mohd Haizal Yatiran
Sebahagian daripada penghuni mendirikan solat fardhu Asar pada Program Menyantuni Warga HIV di Rumah Darul Ukhwah Yayasan Al Ijabah Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI
 

PUCHONG – Nasib malang menimpa seorang pesara tentera apabila doktor mengesahkan beliau dijangkiti kuman Human Immunodeficiency Virus (HIV) meskipun tidak pernah mengambil dadah terlarang dan mengamalkan seks bebas.

“Saya pun tidak tahu kenapa saya dihantar ke sini,” kata Zainal Osman, 56, memulakan perbualan ketika ditemui di Rumah Perlindungan HIV Lelaki Darul Ukhwah (Darul Ukhwah), Puchong.

Zainal yang bersara pada tahun 2012 tidak mengetahui sebab utama beliau berada di Darul Ukhwah pada asalnya.

Beliau dihantar ke Darul Ukhwah pada bulan April lepas oleh abang iparnya dan pada mulanya tidak menyedari dirinya seorang penghidap HIV.

Namun, setelah membuat pemeriksaan kesihatan, doktor mengesahkan beliau positif HIV.

Ia memberi satu tamparan kepada Zainal kerana gaya hidupnya sebelum ini tidak pernah terjerumus dalam dunia maksiat dan mengambil sebarang dadah sintetik.

“Saya dulu (berkhidmat) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sempat kena hantar diseluruh negara untuk bertugas selama 22 tahun. Pos terakhir di MINDEF sebagai Polis Tentera.

“Saya tidak tahu kenapa saya di sini (Darul Ukhwah). Abang ipar saya yang hantar ke sini.
Berkenaan tempat ini (rumah perlindungan HIV), pun saya tidak tahu, tapi bila(saya) dihantar jumpa doktor, baru saya tahu (HIV).

“Saya pelik, saya main (seks bebas) pun tiada, itu yang saya pelik tu. Dadah pun tak ambil,“ katanya sehingga mengundang rasa sedih kembali semasa diinterbiu Malaysia Gazette baru-baru ini.

Punca kuman HIV masuk ke dalam badannya adalah melalui pertukaran darah ketika terlibat dalam satu kemalangan beberapa tahun lepas.

Akibat mengalami pendarahan yang serius, beliau terpaksa menerima darah tambahan daripada salah sebuah hospital awam ketika mendapatkan rawatan.

Namun, tanpa diduga, proses pemindahan darah yang berjaya menyelamatkan nyawanya namun tanpa disedari memberinya ‘bahaya’ lain.

“Saya pernah terima darah daripada orang lain. Terima darah sebab kemalangan,” katanya namun tidak dapat menceritakan secara lanjut berkenaan insiden kemalangan tersebut.

Antara perkara yang turut dikesali oleh Zainal, sebagai seorang bekas atlit tinju yang pernah mewakili negara ke Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, beliau terpaksa menghabiskan sisa umur tanpa bersama kaum keluarganya yang lain.

Lebih menyayat hati, beliau yang mempunyai dua orang anak bagaimanapun tidak mengetahui dimana kedua-dua anak lelakinya itu berada sehingga kini, selepas bercerai dengan bekas isteri.
Satu-satunya ahli keluarga yang beliau jumpa dan datang setiap bulan menjenguknya di Darul Ukhwah, hanya abang iparnya sahaja.

Itu pun menurut Zainal, abang iparnya datang ke Darul Ukhwah untuk menghantar baki wang pencen miliknya selepas dikeluarkan melalui mesin ATM yang dipegang olehnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: