Rabu, 5 Julai 2017

Amanah 'anak kandung' yang derhaka, kata PAS

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menganggap Amanah sebagai 'anak kandung yang derhaka', demikian reaksi Ketua Penerangan Dewan Ulamanya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, mengulas kenyataan Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa bahawa partinya merupakan 'anak kandung' PAS.  
 
Mohd Khairuddin dengan sinis berkata, jika benar Amanah adalah 'anak kandung', masakan parti itu sanggup menderhaka dengan 'bapanya'.
 
Malah Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mengumpamakan situasi tersebut seperti Bani Israel yang mengaku bapanya adalah Nabi Yaakob namun gagal mencontohi keperibadiannya.
 
"Bermakna Amanah adalah 'anak kandung' derhaka PAS
 
"Seperti Bani Israel, dari keturunan Isa mengakui mereka adalah anak nabi bernama Yaakub. Tetapi perangai mereka tak serupa dengan Nabi Yaakub iaitu bapa mereka. Seperti Amanah, mengakui 'anak kandung' PAS tetapi berperangai tak sama dengan PAS. Sebab itu saya kata mereka 'anak kandung' derhaka PAS," tempelaknya.
 
Semalam, Husam mendakwa partinya merupakan 'anak kandung' PAS kerana lebih dekat dengan parti itu, sekaligus menafikan ia berkaitan dengan DAP.
 
Ujar Husam, anggapan PAS bahawa Amanah sebagai 'anak luar nikah' ekoran ia dilihat sebagai saingan hebat parti itu terutama di Kelantan.
 
Amanah, parti serpihan PAS yang kini bernaung di bawah Pakatan Harapan (PH) bersama PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pernah berikrar untuk menakluk Kelantan pada PRU akan datang.
 
Keyakinan tersebut turut pernah disuarakan Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub yang dilaporkan berkata, partinya sedia menentang PAS di setiap kerusi yang bakal dipertandingkan menjelang PRU kelak.
 
PAS kini menguasai 31 kerusi daripada 45 kerusi DUN di negeri berkenaan. 
 
Khairuddin dalam pada itu menganggap ahli-ahli Amanah ada yang 'rindu' dengan PAS dan kerana itu saling mengaitkan dua parti berkenaan.
 
"Mereka masih rindukan PAS sebab itu mengatakan mereka 'anak kandung' PAS. Mereka rindu untuk kembali kepada PAS.
 
"(Namun) Derhaka kepada perjuangan PAS, berpakat dengan orang yang menghina bapa PAS iaitu Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: