Sabtu, 17 Jun 2017

Rasuah: SPRM buru saksi penting

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memburu saksi penting berhubung kes rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka. 
 
Dzulkifli Ahmad Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, siasatan kes yang turut membabitkan anggota polis dan orang awam itu masih belum selesai berikutan saksi yang dicari gagal dikesan. 
 
Katanya, saksi itu dipercayai masih berada di dalam negara dan ada juga yang sudah meninggalkan negara ini. 
 
"Siasatan masih berjalan. Ada saksi yang kita belum jumpa kerana mereka melarikan diri.
 
"Kita sedang kesan (saksi) untuk melengkapkan siasatan," katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Sahabat SPRM di pusat membeli-belah Berjaya Times Square, di sini, hari ini. 
 
Setakat ini, seramai 13 individu terdiri daripada empat orang awam, dua Ketua Polis Daerah dan tujuh anggota polis Melaka pelbagai pangkat ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. 
 
Sementara itu, mengenai laporan blog Sarawak Reports yang mengaitkan beberapa pegawai tertinggi PDRM dengan suspek utama kes rasuah berkenaan, Dzulkifli berkata, tindakan terhadap dakwaan berkenaan termasuk memanggil Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hanya akan dibuat berdasarkan kepada siasatan lanjut SPRM.

Tiada ulasan: