Oleh Nur Atiqah Abd Samad & Farhain Mazlan
SHAH ALAM: Penganalisis politik berpandangan semua pihak hendaklah
menghormati keputusan mahkamah yang mengekalkan status Dr Ting Tiong
Choon sebagai ADUN Pujut.
Sehubungan itu, Dr Jeniri Amir berkata Pilihan Raya Kecil DUN Pujut
yang dijadual berlaku pada 4 Julai depan tidak sepatutnya berlangsung.
Jika tidak katanya lagi, kes yang pertama dalam sejarah politik Malaysia ini dijangka akan memberi implikasi yang besar.
"Jadi apa pun keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah itu perlu
dihormati oleh semua pihak, termasuk Barisan Nasional dan DUN Sarawak
yang telah mengemukakan usul supaya Dr Ting dilucutkan statusnya sebagai
ADUN tempoh hari.
"Jadi sudah pasti pilihanraya tidak boleh dijalankan (kerana) mahkamah
sudah buat keputusan. Itu perlu di akui oleh semua pihak termasuk SPR,
kalau mereka juga teruskan melaksanakan pilihanraya kecil, ini bukan
sahaja menunjukkan pihak terbabit tidak menghormati keputusan mahkamah
tetapi sebenarnya jelas melakukan penghinaan mahkamah," katanya kepada
Antarapos.
Pagi tadi, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan status Tiong Choon sebagai ADUN Pujut dikekalkan.
Sekaligus meminta DUN Sarawak mengembalikan status berkenaan kepada Tiong Choon yang dipecat pada 12 Mei lalu.
Mahkamah membuat keputusan berkenaan selepas mendapati Tiong Choon
tidak diberi ruang sepenuhnya bagi membela diri yang didakwa memiliki
kewarganegaraan Australia.
Selain itu, katanya, Speaker membuat takrifan perundangan yang tidak tepat berkenaan hal kewarganegaraan.
Tambah Jeniri lagi, perkara yang tidak sepatutnya berlaku ini
berkemungkinan boleh menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN) di
Sarawak, kerana pembangkang boleh menjadikannya ia sebagai isu.
"Jika tidak pihak pembangkang dan juga rakyat akan mempunyai tafsiran
macam-macam tentang bagaimana mereka cuba gunakan cara yang tidak wajar
untuk melucutkan status ADUN itu.
"Kerana dari segi hakikatnya seperti yang telah diperkatakan oleh
hakim, Wong telah melampaui kuasanya dalam kes ini, jadi saya sendiri
fikir bahawa Speaker, bagaimana Speaker yang begitu berpengalaman juga
terperangkap dalam kes ini," soal beliau lagi.
Tambah Jeniri lagi, beliau percaya akan kebijaksanaan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) untuk membuat keputusan membatalkan PRK DUN Pujut
ini.
Tetapi saya percaya yang SPR akan mengambil keputusan yang sesuai
dengan keputusan yang diambil oleh mahkamah tinggi ini dengan tidak
meneruskan dengan pilihanraya kecil ini sehinggalah barangkali untuk
sementara waktu mungkin tidak akan diadakan," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan