GEORGE TOWN: Parti Gerakan Pulau Pinang hari ini mendakwa tiga lagi
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR dikenakan tindakan
pembekuan peruntukan bagi kawasan mereka selepas gagal menghadiri satu
majlis rasmi kerajaan negeri.
Naib pengerusi Gerakan negeri Oh Tong Keong berkata peruntukan bagi
ADUN Machang Bubok Lee Khai Loon, ADUN Bukit Tengah Ong Chin Wen dan
ADUN Kebun Bungah Cheah Kah Peng dibekukan kerajaan DAP setelah mereka
gagal menghadiri istiadat mengangkat sumpah pelantikan Yang Dipertua
Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada 29 April lepas.
Beliau berkata kerajaan negeri sepatutnya mengguna kaedah lain untuk
menghukum mereka yang gagal menghadiri majlis rasmi kerajaan negeri dan
bukannya dengan membeku peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk
rakyat kawasan berkenaan.
"Saya ingin menggesa Ketua Menteri (Lim Guan Eng) supaya tidak
membekukan peruntukan wakil-wakil rakyat PKR... peruntukan ini demi
kebajikan dan kebaikan rakyat setiap kawasan berkenaan. Peruntukan ini
adalah bagi DUN setiap kawasan, ia tidak boleh berdasarkan piawaian
beliau sendiri untuk memberi peruntukan ini," katanya kepada pemberita
di sini, hari ini.
Pada Mei lepas, ADUN PKR bagi kawasan Penanti Dr Norlela Ariffin
mendakwa peruntukan kawasannya dibekukan kerajaan negeri kerana gagal
menghadiri istiadat mengangkat sumpah pelantikan Yang Dipertua Negeri
Pulau Pinang.
Oh berkata tindakan kerajaan negeri dilihat seolah-olah ingin membalas
dendam terhadap wakil rakyat PKR yang tidak menyokong tindakan kerajaan
negeri mengenai isu tambak tanah pada persidangan Dewan Undangan Negeri
(DUN).
Ong dan Cheah pernah dipecat kerajaan Pulau Pinang daripada syarikat
berkaitan kerajaan negeri tahun lepas apabila mereka bertindak
berkecuali semasa mengundi usul penambakan tanah yang dibawa oleh
Barisan Nasional semasa persidangan DUN Pulau Pinang.
Usaha mendapatkan pengesahan ketiga-tiga ADUN PKR itu gagal kerana
mereka yang dihubungi semua tidak mahu mengulas mengenai isu pembekuan
peruntukan itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Rashid Hasnon ketika
dihubungi Bernama berkata isu itu selesai selepas enam ADUN termasuk
yang bukan dari PKR telah membalas surat tunjuk sebab yang dikeluarkan
kerajaan negeri sebelum ini.
"Enam wakil rakyat tidak hadir ke istiadat mengangkat sumpah pada April
lepas dan mereka telah memberikan sebab tidak hadir. Maka, isu itu
dianggap selesai," katanya.
Rashid yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri berkata kerajaan negeri
kini dalam proses meluluskan peruntukan yang sepatutnya diterima kesemua
ADUN berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan