Selasa, 6 Jun 2017

Jalan raya getah: Malaysia jadi negara pertama


Jalan raya getah: Malaysia jadi negara pertama
Gambar hiasan
 
SEGAMAT - Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang  menggunakan getah beku  bagi teknologi  penurapan jalan raya melalui kaedah  Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA).

Ia adalah campuran  yang terdiri daripada  Cup Lump Modified Binder (CMB) dan batu baur  (aggegate).

Kajian bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM)  dan Jabatan Kerja Raya  (JKR) sejak dua tahun lepas  mencapai fasa baharu dalam teknologi campuran getah dalam campuran asfalt selepas diperkenalkan lebih 60 tahun lepas.

Jalan Persekutuan  FT 001 dari  Kampung  Desa Bertemu Jodoh  hingga ke Kampung  Kwong Sai  bakal melakar sejarah apabila terpilih sebagai lokasi  pertama projek penggunaan CMA sejauh 10 kilometer yang dijangka  dimulakan Ogos ini.

Projek perintis ini juga  akan membuka lembaran baharu terutama kepada 440,000 orang pekebun kecil getah di Malaysia apabila penggunaan getah beku dalam negara dapat ditingkatkan.

Ini akan membantu menstabilkan harga getah yang dibelenggu  harga rendah sejak beberapa tahun kebelakangan  ini seterusnya  memberi pulangan pendapatan yang lebih tinggi kepada pekebun.

Dijangkakan sebanyak 4.2 tan getah beku digunakan untuk satu kilometer jalan yang dibina.

KAJIAN PERCUBAAN TAPAK

Penggunaan getah sebagai bahan campuran bitumen bagi menurap jalan bukan sesuatu yang baharu. Malaysia sendiri telah memulakannya sejak tahun 1950an lagi melalui pembinaan tapak percubaan sepanjang 90 meter di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai.

Bagaimanapun penggunaan getah sebagai asfalt  kurang berkembang di Malaysia antara lain disebabkan tiada  kajian dan data menyeluruh yang dapat membuktikan penggunaannya lebih baik daripada kaedah konvensional.

Sumber getah yang paling banyak digunakan untuk asfalt biasanya diambil daripada  tayar getah kenderaan terpakai yang kemudian  dikisar halus  menjadi serbuk getah yang akan  dicampurkan dengan bitumen.

Produk getah daripada bahan-bahan terbuang industri seperti sarung tangan juga boleh dimanfaatkan sebagai bahan campuran menghasilkan asfalt.

Selain itu  penggunaan latex (getah asli dalam bentuk cecair )  memberi rintangan  lebih baik pada jalan. Bagaimanapun  harganya lebih  mahal berbanding jenis getah lain.

Taklimat projek  oleh  Jurutera Kanan , Jabatan Kerja Raya , Roziawati Razali  kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama rombongan  Jelajah FTRoadpedia  baru-baru ini menjelaskan penggunaan  getah beku sebagai sumber  alternatif campuran asfalt sedang  dikaji  dengan lebih teliti.

Ia melibatkan  tiga lokasi kajian yang dilakukan secara bersama antara LGM dan JKR selepas menandatangani memorandum perjanjian  (MoA) pada 2015.

Turapan  CMA di lokasi kajian bermula di  Laluan FT010, Jalan Gemas-Rompin di daerah Tampin, Negeri Sembilan pada  22 Dis, 2015.

Laluan 4 Jalan Gerik-Kupang, daerah Baling, Kedah dimulakan pada 8 Nov, 2016  dan seterusnya  Laluan FT002 ,Jalan  Kuala Lumpur-Kuantan, Temerloh  pada 22 November, 2016.

Katanya,  prestasi ketiga-tiga tapak kajian masih dalam pemantauan untuk tempoh dua tahun  melalui kaedah ujian tapak dan makmal.

"Antara yang dilihat untuk mengenalpasti  struktur keadaan jalan dan turapan sedia ada, kekuatan jalan, kerosakan-kerosakan yang bakal timbul selepas tempoh pemantauan serta ujian permukaan beralun. Sehingga kini data yang diperoleh menunjukkan ia sangat positif ," jelasnya dalam taklimat itu.

HASIL KAJIAN

​​​​​​​Penggunaan getah beku  mempunyai potensi yang lebih baik untuk mengatasi masalah teknikal jalan.
Campuran aspalt meningkatkan  kelikatan  bitumen yang dapat  memberi  rintangan terhadap suhu yang tinggi.

Pada waktu panas terutama tengah hari, suhu jalan boleh mencapai sehingga 60 darjah celcius dan kebiasaannya  ketika itu bitumen yang bercampur getah (CMB)) akan mencapai suhu titik lembut yang lebih tinggi daripada bitumen konvensional.

Keadaan ini akan membantu masalah jalan berlekuk terutama yang dilalui kenderaan berat.

Campuran yang terhasil  mempunyai kelikatan  tinggi dan ia membantu balutan bitumen yang lebih baik ke atas batu untuk menambahkan daya tahan selain menjadi lebih elastik yang akan memberi rintangan yang tinggi pada kenderaan.

Prosedur menghasilkan CMA seperti yang  dibangunkan perlu  melalui beberapa proses iaitu  dimulakan dengan pengambilan gumpalan getah beku dari pokok melalui proses pengilangan dan kemudian dicampurkan dengan bitumen bagi menghasilkan  Bituminous Cup Lumps (BC).

Selepas itu, BC akan dicampurkan ke dalam bitumen konvensional pada kadar tertentu  bagi menghasilkan CMB.

Menghasilkan  turapan CMA  juga  tidak banyak beza dengan  kaedah konvensional.

Hanya membezakan sedikit kawalan suhu  di mana untuk penggunaan getah beku memerlukan suhu yang lebih tinggi  antara 10-20 darjah celsius berbanding bitumen konvensional, jelas Roziawati

KOS LEBIH TINGGI

Projek perintis dari  Kampung  Desa Bertemu Jodoh  hingga ke Kampung  Kwong Sai melibatkan jarak sejauh 40 kilometer  dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM92.3 juta yang akan mengambil masa kira-kira dua tahun.

Hanya 10 kilometer yang akan menggunakan kaedah CMA manakala selebihnya  akan menggunakan turapan konvensional.

Dijangka  kaedah CMA memberi prestasi pembinaan jalan yang lebih baik walaupun kosnya lebih tinggi berbanding penggunaan aspalt konvensional.

Anggaran kos pembinaan CMA  sekitar RM53.60 semeter berbanding kaedah aspalt konvensional RM29.90 semeter.

Bagaimanapun untuk jangka panjang  pembinaan menggunakan CMA lebih ekonomik  memandangkan kos kitaran hayat jalan berkenaan yang lebih panjang dengan kos penyelenggaraan yang  lebih menjimatkan, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: