Rabu, 8 Jun 2016

Zaid: Tak perlu hukum penjara remaja hina TMJ

MALAYSIAKINI


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim membidas hukuman penjara setahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Johor Bahru ke atas seorang remaja yang didakwa membuat komen menghina dengan niat untuk menyakiti hati kerabat Sultan Johor.

Zaid menegaskan bahawa Muhammad Amirul Azwan Mohd Shakri hanya berusia 19 tahun dan mungkin adalah pesalah kali pertama.

"Beliau (Amirul Azwan) tidak sewajarnya mendapat hukuman penjara, apatah lagi hukuman maksimum. Seseorang perlu menyemak (hukuman itu) semula," katanya dalam satu siri posting di Twitter.

Hukuman itu dijatuhkan selepas remaja itu mengaku bersalah atas 14 pertuduhan membuat komen bersifat jelek terhadap Tuanku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook, antara Mac dan April lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Amirul yang bekerja sebagai buruh dan berasal dari Tumpat, Kelantan didakwa melakukan perbuatan itu menerusi laman sosial berkenaan atas nama ‘Miyo Castello’ dengan niat menyakiti hati Tunku Ismail.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Zaid mempersoalkan sama ada Akta Komunikasi dan Multimedia adalah untuk melindungi kumpulan bangsawan dan pemimpin tertinggi sahaja.

"Saya dihina sepanjang masa, begitu juga yang lain. Apa masalahnya?" soalnya.

Katanya, semua orang kini mempunyai pelbagai akaun di media sosial kini, termasuk Tuanku Ismail dan bukan sesuatu yang luar biasa bagi kata-kata menghina dilemparkan.

"Bukan semua orang waras, tetapi tidak perlu penjarakan orang bodoh," katanya.

Beliau juga tertanya-tanya mengapa Amirul Azwan tidak diwakili oleh peguam, dan menggesa Majlis Peguam Malaysia untuk mewakili remaja itu ataupun bagi "17,000 peguam di luar sana" melakukan sesuatu.

Sekurang-kurangnya tiga individu telah ditahan sejak dua minggu lalu kerana didakwa menyiarkan kenyataan menghina terhadap Tunku Ismail walaupun baginda meminta pihak polis agar tidak menahan para pengkritiknya.

"Saya dengan rendah diri mencadangkan kepada PDRM agar tidak menangkap mana-mana individu yang telah membuat sebarang kenyataan yang menghina terhadap saya.

"Berikan mereka peluang untuk menyuarakan apa yang mereka mahu katakan kepada saya secara berhadapan, dan bersemuka antara mereka dan saya sahaja.

"Terus terang saya cakap yang saya tidak peduli apa sahaja orang mengatakan kerana saya amat bersyukur dengan apa yang Allah Taala berikan kepada saya", kata baginda di laman facebook Johor Southern Tigers, pada 29 Mei lalu.


Tiada ulasan: