Jumaat, 17 Jun 2016

Zaid gesa timbang rasa pada penghina TMJ



Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim hari ini berkata, isu individu yang ditangkap polis kerana didakwa membuat komen menghina dengan niat untuk menyakiti kerabat diraja Johor merupakan isu kemanusiaan dan perlu diberi pertimbangan.

Mengulas kenyataan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim Zahid sebelum ini, Zahid berkata ia soal sesiapa terlepas dari undang-undang.

Sebaliknya bekas menteri itu menjelaskan bahawa dalam isu berkenaan perlu adanya perasaan timbang rasa.

"Ia bukan soal nak lepaskan sesiapa dari undang-undang. Bila hukuman yang dikenakan terlalu berat, wajar dipertimbangkan. Keadilan mesti mengambil kira banyak perkara.

"Kita mesti ada perasaan timbang rasa. Ini soal kemanusiaan," katanya ringkas melalui pesanan WhatsApp kepada Malaysiakini.

Beliau ditanya berkaitan kenyataan Tunku Ismail bahawa ada pihak mencadangkan kepadanya supaya membebaskan individu yang ditahan berkenaan.

Namun kata Tunku Ismail orang yang sama itu jugalah yang sentiasa mendakwa tiada sesiapa pun terlepas daripada tindakan undang-undang.

Tunku Ismail juga menegaskan beliau tidak ada kena mengena dengan isu beberapa individu yang ditangkap polis kerana menghina nama baiknya.

Muhammad Amirul Azwan Mohd Shakri, 19, dijatuhkan hukuman penjara setahun selepas remaja itu mengaku bersalah atas 14 pertuduhan membuat komen bersifat jelek terhadap Tunku Ismail melalui laman sosial Facebook antara Mac dan April lalu.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain Amirul, beberapa individu telah didakwa di mahkamah kerana menyiarkan kenyataan biadab terhadap Tunku Ismail walaupun beliau meminta pihak polis agar tidak menahan para pengkritiknya.


Tiada ulasan: