Khamis, 2 Jun 2016

Usul Muslimat putus dengan PKR akan dibawa ke Majlis Syura

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Muslimat Pas luluskan tanpa bahas usul putus hubungan dengan PKR.Muslimat Pas luluskan tanpa bahas usul putus hubungan dengan PKR.


Usul Dewan Muslimat Pas Kedah agar Pas Pusat mengkaji semula Tahalluf Siyasi (kerjasama politik) diluluskan tanpa bahas oleh perwakilan dalam Sidang Muktamar Dewan Muslimat PAS (DMPM) kali ke-56 di Kota Bharu semalam.

Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Salamiah Mohd Noor berkata, usul tersebut akan dibawa ke Majlis Syura Ulama untuk tindakan susulan.

Usul itu menyatakan PKR dilihat seolah-olah tidak menghormati PAS apabila mengadakan hubungan kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah), yang jelas menuduh serta memfitnah Pas dengan pelbagai dakwaan tidak berasas.

Menurut usul itu, bermula langkah Kajang sehinggalah konspirasi menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, pandangan dan pendirian Pas tidak dihormati selain kesucian Pakatan Pembangkang dicemari dengan perancangan tertentu di luar pengetahuan Pas.

"Walaupun ada segelintir pemimpin PKR yang menghormati pendirian dan pandangan PAS namun rentetan isu sebelum ini memperlihatkan parti itu lebih selesa mengambil keputusan tanpa berbincang atau mengambil kira rakan tahallufnya berhubung hal-hal berkaitan.

"Sedangkan PKR banyak bergantung harap kepada Pas untuk menggerakkan jentera terutama menjelang pilihan raya.

"Memandangkan sejak kebelakangan ini, Pas dilihat bergerak secara bersendirian dan bersikap berdikari dalam menangani isu-isu politik dan masalah, maka adalah lebih baik dalam pilihan raya akan datang kita bertanding di semua kerusi tanpa bekerjasama dengan parti-parti lain," kata usul tersebut yang tertulis di dalam Buku Usul.

Usul DMPM ini dilihat bertentangan dengan sikap Pemuda Pas yang dilihat mesra PKR.

Malah dalam muktamarnya yang juga berlangsung semalam, beberapa pimpinan PKR hadir sebagai tetamu antaranya Timbaan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin.

Pada muktamar tahun lalu, Pas meluluskan usul Dean Ulama agar Memutuskan hubungan dengan DAP.

Tiada ulasan: