Selasa, 14 Jun 2016

Undi awal: Sakit bukan penghalang

Undi awal: Sakit bukan penghalang
Zainal Abidin Jaafar


SUNGAI BESAR - Walaupun pergerakkannya terbatas di atas kerusi roda, namun seorang anggota polis berpangkat koperal tidak  ketinggalan menjalankan tanggungjawabnya untuk membuang undi awal di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sabak Bernam di sini, sebentar tadi.

Zainal Abidin Jaafar, 54 tahun, terpaksa berkerusi roda kerana mengalami masalah terseliuh pada kaki kirinya selepas jatuh di rumahnya semalam.

“Saya jatuh dalam bilik semasa hendak menunaikan solat Asar di rumah saya semalam,” katanya ketika ditemui di pusat pembuangan undi awal, di sini, hari ini.

Katanya, keadaannya semakin sukar untuk berjalan kerana dia adalah penghidap penyakit buah pinggang yang sedang menjalani rawatan dialisis.

“Saya sedang menjalani rawatan dialisis jadi selepas jatuh badan saya masih lemah dan tidak berapa kuat untuk bergerak sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Zainal berkata, dia bangga kerana dapat membuang undi walaupun terpaksa bergerak dengan menggunakan kerusi roda.

“Saya datang ke pusat pembuangan undi seawal jam 8 pagi dan saya merasa bangga sebab dapat tunaikan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Zainal yang ditemani isterinya, Norkhairini Abdullah, 45 tahun sudah berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 35 tahun.

Dia kini ditempatkan di bawah Jabatan Siasatan  Jenayah Narkotik (JSJN) di IPD Sabak Bernam lebih kurang 11 tahun.

Bagaimanapun, doktor menasihatkannya dia mebuat kerja ringan kerana masalah penyakit buah pinggang yang dihidapinya sejak lima tahun.


Tiada ulasan: