Sabtu, 11 Jun 2016

Tun M kongsi kisah bazar Ramadan dan Najib

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamed. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menerusi catatan terbaharu di blognya berkongsi kisah mengenai Bazar Ramadan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

‎Menurutnya ,seperti biasa menjelang bulan puasa beliau  ke bazar Ramadan untuk membeli aneka jenis masakan yang hanya terdapat di bulan puasa.

"Hari pertama saya ke bazar di Putrajaya. Lokasi bazar telah dipindah tetapi pelanggan ramai seperti biasa.

"Hari kedua saya ke Kampung Baru. Saya kagum dan gembira kerana pihak berkuasa sudah mendirikan bumbung untuk melindungi gerai dari hujan dan panas. Kain berwarna-warni menghiaskan siling yang juga mengurangkan panas matahari.

‎"Tanpa dirancang saya bertemu dengan pegawai yang bertanggungjawab menghiaskan bazar Ramadan Kampung Baru dan saya ucap tahniah kepadanya. Katanya tahun hadapan keselesaan dan keindahan pasar itu akan diperbaiki lagi. Sekali lagi saya ucap tahniah kepadanya," katanya.

Namun katanya, sebelum beliau masuk kereta, dia menyatakan kegembiraannya bahawa dia diberitahu saya tidak akan pergi ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar‎.

"Saya terpaksa jelas bahawa saya akan berkempen di kedua-dua tempat. Bulan puasa bukan masanya untuk kita bersikap kasar. Saya akan cuba elak dari menggunakan perkataan yang kasar.

Sementara itu, beliau menegaskan masih tidak faham bagaimana ada pihak yang masih sokong kepimpinan Najib.

"Di Brazil dan Kenya dan beberapa negara lain, tidak banyak bukti yang menunjukkan pemimpin mereka terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa. Tetapi tuduhan masih dibuat terhadap mereka. Presiden Brazil digantung jawatannya oleh hakim besar supaya tidak mengganggu siasatan terhadapnya," katanya.

Namun di Malaysia katanya, masih ada ahli dan pemimpin Umno yang mempertahankan dan cuba menunjukkan kebaikan Najib.

Menurutnya, walaupun mereka gagal berbuat namun mereka terus menyokong Najib.


Tiada ulasan: