Rabu, 15 Jun 2016

Tiga lagi PI1M bakal dibina di Parlimen Sungai Besar

SINAR HARIAN


Tiga lagi PI1M bakal dibina di Parlimen Sungai Besar
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari (dua, kiri) melawat Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Pasir Panjang selepas merasmikan pusat internet tersebut di Batu 23 Pasir Panjang, Sekinchan hari ini. - Foto Bernama
 
 
SUNGAI BESAR - Kerajaan Persekutuan bakal membina tiga Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di kawasan Parlimen Sungai Besar bagi membolehkan masyarakat setempat mengakses internet jalur lebar dalam melaksanakan pelbagai urusan seharian.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata PI1M itu akan dibina di Kampung Desa Permai Parit 8, Tebuk Haji Yusof dan Kampung Sungai Haji Dorani yang menelan kos kira-kira RM5.4 juta.

Ketika ini, kawasan Parlimen itu mempunyai PI1M di Pasir Panjang, Kampung Sungai Leman, Kampung Tengah Peket 100 dan Sungai Panjang.

"Kita harap dengan adanya tiga lagi PI1M di Sungai Besar, ia dapat mewujudkan masyarakat yang celik IT (Komunikasi Maklumat).

"Jika masyarakat di sini terus memberikan sokongan kepada kerajaan BN (Barisan Nasional), banyak lagi pembangunan yang akan kita ausahakan di sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan PI1M Pasir Panjang dan Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2016 di sini, hari ini.

Jailani berkata PI1M di Kampung Desa Permai Parit 8 dan Kampung Sungai Haji Dorani dijangka beroperasi hujung tahun ini manakala PI1M Tebuk Haji Yusof pada awal 2017.

Mengenai maklum balas penduduk setempat terhadap PI1M, beliau berkata rata-rata mengakui ia memudahkan urusan seharian mereka tanpa perlu lagi ke kafe siber yang terletak agak jauh.

"Di PI1M, dengan hanya membayar yuran keanggotaan RM5 seumur hidup, golongan seperti warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh mengakses internet secara percuma manakala pelajar dan kanak-kanak boleh menggunakan internet secara percuma untuk tempoh sejam," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Jailani berkata PI1M Pasir Panjang telah membantu menjana peningkatan sosio ekonomi komuniti setempat dan mewujudkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing.

Beliau berharap inisiatif yang dilaksanakan kerajaan BN bukan sekadar pelengkap kepada pembangunan masyarakat yang serba terhubung, malah membuka ruang untuk mengubah cara hidup komuniti di Sungai Besar khususnya, untuk terus maju dalam era globalisasi.

"Sehubungan itu, saya berharap pengundi akan bijak memilih calon yang benar-benar dapat membela nasib masyarakat di sini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar 18 Jun ini.

"Saya juga berharap pengundi tidak termakan dakyah pembangkang yang hanya pandai membuat janji serta provokasi. BN sebaliknya telah lama membawa kemajuan di kawasan Parlimen ini terutama dalam sektor pembangunan, ekonomi dan pembangunan modal insan.

"Sekiranya calon BN Budiman Mohd Zohdi dipilih, saya percaya sebagai Anggota Parlimen, beliau akan dapat menjalankan tugasnya dengan baik dan meneruskan kesinambungan tradisi BN dalam memperjuangkan nasib rakyat di Sungai Besar," katanya.

Pada PRK itu, Budiman ditentang calon Pas Dr Abdul Rani Osman dan calon Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Abdul Shukur.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. - Bernama


Tiada ulasan: