Rabu, 15 Jun 2016

Tiada keperluan lantik pemangku MB

Ahmad Bashah Md Hanipah
Ahmad Bashah Md Hanipah
 
 
ALOR SETAR – Masih tiada keperluan untuk melantik Pemangku Menteri Besar Kedah walaupun penjawatnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Perkara itu diakui Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Bakar Din selepas melancarkan Misi Prihatin Pejabat SUK Kedah (Inovasi) 2016 di Wisma Darul Aman, semalam.

Beliau berkata, Ahmad Bashah masih memerlukan rehat yang mencukupi untuk melalui proses pemulihan dan tidak perlu sehingga melantik pemangku jawatan.

“Menteri besar masih berada di HPP. Saya pun dah beberapa hari tak melawat, tapi maklumat yang  diterima beliau masih dalam pengawasan hospital dan ditempatkan dalam wad ICU.

“Orang ramai belum boleh menziarahinya, cukup sekadar berdoa dahulu. Sebab kalau orang pergi ziarah, beliau asyik nak bersembang dan tidak rehat. Menteri besar memang perlu rehat yang cukup selepas pembedahan,” katanya.

Menurutnya, tugas menteri besar tidak boleh berlangsung buat sementara waktu disebabkan keadaan kesihatan Ahmad Bashah.

“Tapi proses pentadbiran kerajaan tetap berjalan macam biasa. Program menteri besar yang dirancang sebelum ini memang berjalan, tidak batal. Cuma kita aturkan supaya ada wakil Exco yang ganti.

“Saya difahamkan sepanjang Ramadan ada enam atau tujuh program bantuan kepada masyarakat sudah diatur awal. Jadi Exco lain akan hadir mewakilinya,” katanya.

Ditanya sekiranya ada urusan penting yang memerlukan kelulusan dan keputusan menteri besar, beliau mengakui ia boleh diselesaikan dengan cara terbaik.

“Buat masa ini saya tak nampak lagi ada hal yang penting, boleh diselesaikan. Kalau boleh ditentukan oleh pihak pentadbiran, saya akan buat keputusan.

“Kalau perlu perbincangan, saya akan bincang dengan Exco lain. Semua Exco pun berkomunikasi nak cari kaedah terbaik. Saya tak jumpalah sampai peringkat nak kacau menteri besar rehat, tak ada lagilah.
Insya-ALLAH boleh selesai,” katanya.

Sekiranya keadaan memaksa, beliau akan berjumpa dan mendapatkan keputusan menteri besar untuk melaksanakannya.

“Tapi saya pun tak mahu ganggu beliau nak rehat. Kalau (saya) jumpa berbincang, beliau nak kena fikir pula. Jadi ia akan ganggu proses pemulihan.

“Bagaimanapun, saya fikir tak sampai lagi peringkat untuk kita lantik pemangku menteri besar,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Bashah dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC) sekitar jam 7.45 malam selepas didapati lemah akibat komplikasi usus ketika hadir mesyuarat jentera Umno Kedah untuk dihantar membantu PRK Kuala Kangsar, di Hotel Grand Alora, di sini.

Adun Bakar Bata itu kemudiannya terpaksa dipindahkan ke HPP Isnin lalu untuk mendapatkan rawatan rapi pakar perubatan.


Tiada ulasan: