Selasa, 21 Jun 2016

Terkejut pembunuhan pegawai MP 'ala mafia'

MALAYASIAKINI


Parti Amanah Negara (AMANAH) melahirkan rasa terkejut dan dukacita dengan berita kematian calon PKR bagi pilihan raya negeri Sarawak Bill Kayong yang ditembak mati dalam kereta di Miri hari ini.

Menyifatkan perkara itu sebagai “ala mafia”, parti itu membangkitkan keadaan negara ini yang menurutnya seperti mudah memiliki senjata api seperti di Amerika Syarikat.

“AMANAH mendesak pihak polis agar segera menyiasat dalang kepada pembunuhan ini sehingga ke lubang cacing. Penjenayah tidak boleh dilindungi.

“Keselamatan rakyat, ahli-ahli politik dan pejuang-pejuang sosial perlu diberi perhatian,” kata setiausaha agungnya Mohd Anuar Tahir (gambar).

Bill Kayong, setiausaha politik kepada anggota parlimen Miri Dr Michael Teoh, ditembak mati di lampu isyarat Jalan Kuala Baram, Miri pagi tadi.

Bill dipercayai ditembak daripada jarak dekat menembusi cermin kanan di sebelah pemandu kereta jenis Toyoto Hilux yang dinaikinya dan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bill dikatakan antara individu dalam PKR yang lantang memperjuangkan hak rakyat pribumi Dayak di utara Sarawak, khususnya berkaitan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Dalam kenyataan hari ini, Mohd Anuar berkata, kerajaan perlu mengkaji sedalam-dalamnya isu keselamatan agar kedamaian negara kekal terpelihara.

“Walaupun suhu politik sering sahaja meningkat, namun janganlah dibiarkan keganasan berlaku dengan membiarkan kumpulan-kumpulan perkauman melakukan gangguan dan demonstrasi,” katanya.

Mohd Anuar mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Tiada ulasan: