Rabu, 1 Jun 2016

Tergamak Nik Abduh umpamakan kami dengan 'arak' dan 'mabuk' - Anuar Tahir

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN), Anuar Tahir mempersoalkan bagaimana Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz tergamak mengaitkan penubuhan parti itu dengan perumpamaan 'arak' dan 'mabuk'.
 
Nik Abduh hari ini mendakwa DAP terlalu angkuh apabila memberikan 'arak' dan 'memabukkan' segelintir ahli PAS sehingga mereka bertindak keluar parti dan menubuhkan PAN.
 
Selepas Muktamar PAS kali ke-61 (2015), sekumpulan pimpinan parti itu bertindak keluar parti dan menubuhkan PAN selepas hilang kepercayaan kepada kepimpinan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"Alangkah buruknya tafsiran itu, tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang Ketua Pemuda sebuah parti Islam dengan membawa perumpamaan 'mabuk','arak'.
 
"Kenapa sebuah parti Islam sekarang ini pemimpinnya daripada peringkat atasan sampai pimimpin pertengahan telah begitu biasa dengan perkataan yang kotor, cemar, berbaur maksiat dan dulu perkataan barua, babi, anjing dan istilah yang buruk ini keluar daripada mulut seorang daie Islam," katanya ketika dihubungi Antarapos di sini hari ini.
 
Nik Abduh dilaporkan berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke yang menuduh beliau sebagai angkuh apabila meminta PAS Pusat mengkaji untuk mengambil semula semua kerusi yang 'dipinjamkan' kepada DAP dan PKR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.
 
Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengusul cadangan berkenaan selepas PAS tidak lagi menjalinkan tahaluf siyasi dengan DAP dan tidak menggotai pakatan pembangkang yang baru, Pakatan Harapan (PH).
 
"Siapakah yang memecahkan PAS sampai setengah ahli PAS mabuk, pindah jadi PAN? DAP yang beri arak kepada mereka sehingga mereka tubuhkan PAN. Itu tanda DAP angkuh," kata Nik Abduh pada sidang media Pemuda PAS di Kelantan Trade Centre, sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-57, petang tadi.
 
Mengulas lanjut, Anuar menyifatkan gaya pertuturan Nik Abduh tidak membayangkan dirinya sebagai agamawan sebaliknya pemimpin parti Islam yang penuh kebencian.
 
"Walaupun dengan bersemangat sekarang dengan berkeris dan bertanjak jangan mengeluarkan perkataan-perkataan yang begitu menuduh dengan mengaitkan parti politik lain, menunjukkan sikap kebencian, bermusuhan yang luar biasa.
 
"Sangat emosional tidak profesional bagi seorang Ketua Pemuda lepasan sebuah Univerisiti Islam luar negara yang ketika marah dan kesal dengan sesuatu sampai tergamak mengeluarkan perkataan-perkataan demikian," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: