Jumaat, 10 Jun 2016

Tanggal segera siren, ‘lampu mata’

Tanggal segera siren, ‘lampu mata’
Ketua Trafik IPD Kluang, Asisten Superintendan Azmi Suratman (tengah) bersama pemilik van jenazah yang datang membuat pemeriksaan ke IPD Kluang bagi mengetahui status kenderaannya yang memasang siren berserta lampu mata arah.


KLUANG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang memberi amaran tegas kepada pemilik kenderaan persendirian yang memasang siren berserta lampu mata arah (beacon light) supaya menanggalkannya segera.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, terdapat aduan diterima daripada orang awam memaklumkan terdapat van jenazah di daerah ini memasang siren berserta lampu mata arah.

Jelasnya, dalam penggunaan apa juga siren adalah menurut Kaedah 24 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959 iaitu alat amaran hanya boleh dipasang untuk kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kastam, polis, ambulans dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Bagi penggunaan lampu mata arah, penggunaan hanya dibenarkan untuk kenderaan bomba, Kastam, polis, ambulans dan JPJ.

“Adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana kenderaan persendirian yang menggunakan lampu mata arah tanpa kebenaran Ketua Pengarah JPJ Malaysia di bawah Kaedah 138(1) Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Mohamad berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera terhadap pemilik kenderaan yang memasang siren berserta lampu mata arah.

Tiada ulasan: