Ahad, 12 Jun 2016

Suee Lim tidak matang berpolitik

Dr Abdul Rani Othman
Dr Abdul Rani Othman


SUNGAI BESAR - Calon Pas PRK Sungai Besar, Dr Abdul Rani Othman menyifatkan kenyataan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim yang supaya mencadangkannya menarik diri daripada bertanding dan balik ke Meru sebagai tidak matang.

Menurutnya, Suee Lim seolah-olah tidak faham dengan senario politik di negara sendiri.

“Politik seperti ini biasa, lagipun tak ada halangan dalam politik Malaysia untuk seseorang itu menjadi ahli parlimen di kawasan bukan kelahirannya.

“Lim Guan Eng sendiri bukan orang Pulau Pinang tapi dia menjadi ketua menteri di sana dan Mohamad Sabu pula orang Pulau Pinang yang menetap di Shah Alam tapi beliau pernah menjadi ahli parlimen di Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, perkara penting harus dilihat adalah tanggungjawab sebagai ahli parlimen yang bakal disandangnya apabila menang kelak dan bukan personalitinya sebagai orang luar.

“Perkara sebegini sepatutnya tak berlaku dan beliau tak harus mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Kalau macam itu, Suee Lim juga tidak seharusnya menjadi wakil rakyat di Sekinchan kerana beliau sendiri tinggal di Shah Alam,” katanya.

Kelmarin, Suee Lim menasihatkan Dr Abdul Rani dalam kenyataannya di Sinar Harian supaya menarik diri daripada bertanding di PRK Sungai Besar.

Katanya, Abdul Rani tidak diperlukan di Sungai Besar dan penyokong Pas sendiri tidak membantunya berkempen.

“Kalau boleh sebelum 18 hari bulan nanti, saya akan beritahu Dr Rani supaya tarik diri untuk jaga maruah dan tidak dipergunakan oleh Pas untuk menentang Parti Amanah Negara (Amanah).

“Sebagai kawan saya, dia ada maruah dan jangan gadaikan maruah sempena bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Suee Lim berkata demikian selepas Abdul Rani meminta beliau menyelesaikan masalah peniaga di Pasar Awam Sekinchan yang berdepan dengan tekanan, selepas Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menaikkan kadar sewa bulanan petak perniagaan sejak Januari lalu.


Tiada ulasan: