Sabtu, 18 Jun 2016

Skandal rasuah ‘Fat Leonard’, adakah TLDM terlibat?

stevensim_fatleonard

Roketkini.com


BUKIT MERTAJAM: Skandal rasuah Fat Leonard yang menggemparkan dunia pada tahun 2013 digelar sebagai salah satu skandal terbesar dalam sejarah tentera laut Amerika Syarikat, dan ia melibatkan pelabuhan di negara ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang pernah mengutarakan isu itu pada tahun 2013 sekali lagi menggesa kerajaan memberi jawapan sebenar berhubung skandal tersebut dengan mengemukakan empat soalan kritikal.

“Adakah terdapat mana-mana pegawai Malaysia terutama dalam bahagian pelabuhan yang terlibat dengan skandal itu?

“Seorang bekas ketua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kemudiannya bersara sebagai Ketua Angkatan Tentera Malaysia telah berkhidmat dengan GDMA dan syarikat-syarikat berkaitan. Wujudkah apa-apa pengaruh atau salah guna kuasa melibatkan perniagaan Fat Leonard di negara ini?

“TLDM juga merupakan pelanggan kepada syarikat Glenn Defense Marine Asia (GDMA) milik Fat Leonard. Adakah Fat Leonard menggunakan modus operandi yang sama dengan pegawai-pegawai TLDM?

“Ketibaan kapal USS George Washington pada 2012 diumumkan oleh Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan. Kini sudah jelas bahawa lawatan itu melibatkan rasuah dan salah guna kuasa. Adakah pegawai termasuk Menteri Pertahanan terlibat?” soal beliau dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau sebelum ini telah cuba meminta jawapan dari pihak kerajaan di dalam dan luar parlimen, namun kerajaan memilih untuk berdiam diri berhubung perkara tersebut.

“Ini merupakan kes yang amat sensitif memandangkan ia melibatkan pertahanan dan keselamatan negara.

“Dengan siasatan besar-besaran sedang berlaku di Amerika Syarikat dan negara-negara lain, sudah tiba masanya untuk kerajaan Malaysia tampil memberi jawapan,” katanya.

Skandal Fat Leonard merupakan skandal rasuah yang melibatkan seorang rakyat Malaysia bernama Glenn Francis Leonard atau dikenali sebagai ‘Fat Leonard’, pemilik syarikat pembekal perkapalan GDMA dengan pegawai kanan dalam angkatan tentera laut Amerika Syarikat. – Roketkini.com


Tiada ulasan: