Isnin, 13 Jun 2016

'Shafee dilantik duta hak asasi, tapi Suhakam dibiar kosong'

MALAYSIAKINI


Suaram mengecam pelantikan peguam veteran Tan sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai Duta Besar Tugas-tugas Khas Mengenai Hak Asasi Manusia atas alasan beliau tidak mempunyai rekod kredibel dalam mempertahankan hak asasi.

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata sekiranya kerajaan serius mengenai hak asasi manusia, ia tidak seharusnya membiarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tanpa pesuruhjaya sejak beberapa bulan lalu dan mengurangkan belanjawannya.

"Pencabulan hak asasi manusia berterusan dan sekatan terhadap kebebasan bersuara serta hak asasi adalah bukti kerajaan Malaysia kurang berminat dalam memenuhi tanggungjawabnya mempertahankan hak asasi manusia.

"Jika kerajaan Malaysia ikhlas dalam komitmennya terhadap hak asasi manusia di Malaysia, ia akan dilantik pesuruhjaya-pesuruhjaya baru dan meningkatkan peruntukan kewangan untuk Suhakam bukannya memotong separuh belanjawan mereka," katanya.

Doraisamy seterusnya menggesa kerajaan berhenti memperdayakan masyarakat antarabangsa mengenai rekod hak asasi manusia di negara ini.

Tempoh penggal pesuruhjaya Suhakam bagi lantikan 2013-2016 berakhir pada 25 April lalu, dan jawatan berkenaan dibiarkan kosong kosong sejak tarikh berkenaan.

Sebelum itu, bajet 2016 menyaksikan peruntukan untuk suruhanjaya itu berkurangan daripada hampir RM11 juta kepada RM5.5 juta.

Tiada ulasan: