Khamis, 9 Jun 2016

Sedia air percuma sempena Ramadan

Sedia air percuma sempena Ramadan
Air disediakan pekerja yang beragama Islam.
 


MELAKA - Percaya amalan bersedekah yang diamalkan dalam Islam mempunyai manfaat besar mendorong seorang peniaga berbangsa Cina dan bukan beragama Islam membuat amal sempena Ramadan.

Lok Tian Chai, 37, bersama seorang lagi rakannya Alex Soh, 39, mengusahakan kedai telekomunikasi di Taman Seri Telok Emas, di sini sejak 17 tahun lalu.

Yang menariknya, setiap kali Ramadan, mereka menyediakan air minuman untuk diberikan secara percuma kepada masyarakat Islam berbuka puasa.

Malah, amalan itu sudah dilakukannya sejak lima tahun lalu.

Tian Chai berkata,  dia percaya setiap pemberian dalam bentuk sedekah sudah pasti akan mendapat balasan kembali pada masa akan datang.

“Kami telah lakukan aktiviti ini sejak lima tahun lalu dengan menyediakan bungkusan air minuman kepada masyarakat Islam untuk dibawa pulang untuk berbuka puasa.

"Kami lakukan setiap hari sepanjang Ramadan mulai jam 6 petang dan akan diedarkan secara percuma kepada sesiapa sahaja yang melalui kawasan kedai kami," katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia bercadang untuk memberi sumbangan dalam bentuk wang.

"Tetapi apabila berfikir balik, kami bimbang duit akan disalahgunakan dengan membeli perkara tidak berfaedah. Akhirnya kami putuskan untuk membuat sumbangan dalam bentuk air minuman. Apatah lagi ia sangat bermakna menjelang umat Islam hendak berbuka puasa,” katanya.

Tian Chai berkata, dia pernah cuba hendak memberhentikan aktiviti tersebut seketika, tetapi ada ramai yang bertanya mengenai air percuma itu.

“Orang ramai khususnya masyarakat sekitar Telok Emas memang sudah mengetahui tentang hal ini, sebab itu mereka akan bertanya biarpun sehari kami tidak menyediakan air ini, " katanya.

Upah pekerja Islam bungkus air

Menurut Tian Chai, untuk menyediakan air minuman berkenaan, dia mengupah pekerja Islam setiap hari sehingga ia dibungkuskan.

“Biasanya, kami akan buat satu balang yang akan dilakukan oleh pekerja Islam yang kami upah setiap hari untuk membungkus dan seterusnya mengagih-agihkan air ini.

“Setiap hari kami akan tukar-tukar jenis air berselang-seli. Kalau hari ini air sirap, esok kami akan tukar air sirap bandung dan seterusnya sarsi, limau, tebu dan sebagainya,” katanya yang turut menampal jadual waktu berbuka puasa di kedainya.

Selain itu, menurutnya, sehari dalam bulan Ramadan, dia juga akan mencari sejumlah golongan fakir miskin, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk diberikan sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur seperti beras, gula dan minyak masak.

“Kami akan cari sendiri nama-nama terbabit menerusi kenalan dan penduduk kampung yang kemudian kami pilih satu hari untuk diagihkan," katanya.

Menurutnya, programnya  pernah mendapat sokongan daripada Adun Telok Emas, Datuk Latiff Tamby Chik yang turut hadir menyerahkan sumbangan itu.

“Misalnya, tahun ini pun sudah ramai masyarakat yang tanya saya, sama ada kami ada anjurkan atau tidak. Bagi saya, ini sudah jadi satu kebiasaan dan perlu diteruskan selagi dikurniakan rezeki oleh tuhan. Saya akan berkongsi dengan masyarakat tanpa mengira agama,” katanya.

Tian Chai berkata, dia juga gemar dan tidak mahu ketinggalan mengadakan aktiviti mengagihkan bubur lambuk yang selalu dilakukannya pada penghujung Ramadan setiap tahun.

“Bubur lambuk ini kami upah dengan masyarakat kampung dan meminta mereka menyediakan dalam bentuk bungkusan supaya senang diagihkan kepada orang ramai yang berpuasa.

“Bagi saya, apa yang dilakukan adalah satu kepuasan dan secara tidak langsung hubungan kami dengan masyarakat terjalin semakin erat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.


Tiada ulasan: