Sabtu, 4 Jun 2016

PRK: 'Jangan buat provokasi pada hari penamaan calon' - Pengarah Pilihan Raya Perak

Wan Syamsul Amly, Astro Awani
 
PRK: 'Jangan buat provokasi pada hari penamaan calon' - Pengarah Pilihan Raya Perak
Sekumpulan pegawai pilihan raya membuat lawatan di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar pag ini. - Foto Astro AWANI/Wan Syamsul Amly
 
 
KUALA KANGSAR: Semua pemimpin serta penyokong parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar diminta tidak membuat provokasi pada hari penamaan calon esok.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak, Ahmad Adli Abdullah berkata, penyokong juga perlu mematuhi arahan keselamatan serta jalan raya yang sudah dimaklumkan sebelum ini.

'Sikap itu harus berterusan sepanjang minggu kempen kerana menghormati bulan Ramadan.

"Pemimpin dan penyokong pada esok kita harap mereka dapat mengikuti arahan yang dikeluarkan pihak keselamatan dan janganlah membawa peralatan muzik, siar raya dan pembesar suara atau berceramah dan semualah semasa proses penamaan ini berlaku," katanya semasa membuat lawatan di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Katanya lagi, hanya 100 penyokong dari setiap parti yang dibenarkan masuk ke kawasan yang ditetapkan di pusat penamaan calon pada Ahad.

Jelasnya, seramai 32,949 pemilih berdaftar juga perlu melakukan semakan awal untuk memastikan tidak ada masalah susulan pada hari pengundian kelak.

Pengundian awal akan diadakan pada 14 Jun ini manakala pengeluaran pertama bagi kertas undi pos pada 8 Jun sementara pengeluaran kedua selewat-lewatnya 10 Jun.
Dalam pada itu, Ahmad Adli turut menasihatkan para pengundi supaya keluar awal mengundi bagi mengelakkan kesesakan berlaku.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. 
 
 

Tiada ulasan: