Jumaat, 10 Jun 2016

PM tak ada standard, kata Khalid

 
Khalid berkata, Azmin sudah menjelaskan pendirian untuk menyokong AMANAH bertanding di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.


khalid-najib


SUNGAI BESAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak menyatakan pendiriannya terhadap isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, tindakan Najib menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan pendirian kerajaan negeri itu sama ada menyokong PAS atau AMANAH di Sungai Besar, seolah-olah tidak ada standard.

“Perdana Menteri jelas tidak ada standard apabila mendesak Azmin menjelaskan isu ini (sama ada sokong PAS atau AMANAH).

“Pendirian Menteri Besar jelas, dia tidak mahu dilibatkan secara bersungguh-sungguh kerana ia akan mengganggu hubungan dengan EXCO PAS,” katanya dalam sidang media di pejabat AMANAH Sungai Besar, hari ini.

Jelasnya, Azmin juga sudah menjelaskan pendirian untuk menyokong AMANAH bertanding di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Adakah Najib hendak teruskan dengan RUU yang dibawa Hadi. Jadi, apakah pendirian Najib dan parti komponen BN yang lain?” soalnya.

Semalam, Najib dilaporkan sebagai berkata, kecelaruan pembangkang jika dibawa ke peringkat pentadbiran negara hanya akan mewujudkan kerajaan yang lemah.

PAS merupakan rakan dalam kerajaan Selangor yang dipimpin PKR, manakala AMANAH pula merupakan rakan komponen Pakatan Harapan yang dianggotai PKR.

“Kecelaruan di pembangkang amat jelas di Sarawak apabila mereka bertembung di banyak kawasan. Di sini pun kita lihat perkara yang sama, mana letaknya pendirian kerajaan negeri?

“Kita masih tidak tahu PAS ni masih mereka terima atau tidak. Seolah-olah tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain,” kata Najib selepas berbuka puasa bersama penduduk semalam.

Tiada ulasan: