Selasa, 21 Jun 2016

PKR: Segera siasat kes tembak Bill Kayong

Bill Kayong


SHAH ALAM – Berita menyedihkan mengenai kematian calon PKR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Bill Kayong yang maut ditembak dalam satu kejadian jam 9 pagi tadi sememangnya mengejutnya banyak pihak.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut meluahkan rasa sedih beliau dan memanjangkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa menerusi kemas kini status di laman sosial Facebooknya hari ini.

“Mendiang dikenali sebagai penggerak sosial dan aktivis hak tanah adat telah dilaporkan mati ditembak di lampu isyarat di Kuala Baram pada 9 pagi ini sewaktu memandu kenderaan dengan logo parti,” katanya.

Selain itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat menjalankan siasatan segera berhubung kes tersebut bagi membolehkan individu bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

Di samping itu, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah turut mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan kejam ke atas Bill.

“Amat mengejutkan. Amat menyedihkan. Saya ucap takziah kepada ahli keluarganya dan saya kutuk sekeras-kerasnya perbuatan durjana menembaknya itu,”tulisnya menerusi kemas kini status di laman Facebooknya hari ini.

Bill sebelum ini bertanding di kerusi Bekenu pada PRN Sarawak lalu namun kalah kepada calon BN, Rosey Yunus.

Selain itu, Bill juga merupakan setiausaha politik kepada ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng.


Tiada ulasan: