Jumaat, 17 Jun 2016

PKR mungkin bincang dakwaan rasuah Manickavasagam Selasa depan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
 
Post Pic


SHAH ALAM: Mesyuarat Biro Politik PKR yang akan diadakan pada 21 Jun mungkin membincangkan kes dakwaan rasuah yang membabitkan Ketua Cabang Kuala Selangor, S. Manickavasagam.

Naib Presiden PKR, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, lazimnya biro politik mengadakan mesyuarat pada setiap Selasa dan tarikh berkenaan adalah hari Selasa selepas pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Tapi itu (bincang dakwaan Manickavasagam) pun tidak tahulah. Yang pastinya mesyuarat seterusnya akan diadakan pada Selasa ini. Sebab kita dah tak bermesyuarat hampir dua minggu kerana PRK.

"Lazimnya mesyuarat akan diadakan pada Selasa. Tetapi kita tunggulah kenyataan daripada Presiden atau Timbalan Presiden," katanya kepada Antarapos hari ini.

Shaharuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang dakwaan rasuah itu memandangkan Manickavasagam baru sahaja ditahan semalam, apatah lagi parti sedang sibuk dengan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Manickavasagam atau Mike, pada semalam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai mempunyai kaitan dengan urusan pembinaan bagi membolehkan syarikat milik kontraktor tertentu mendapat tender baik pulih kemudahan awam bernilai hampir RM1 juta.

Difahamkan, penahanan dibuat selepas intipan selama empat bulan ke atas ahli politik itu susulan beberapa laporan membabitkan penyalahgunaan kuasa.

Bekas Ahli Parlimen Kapar itu juga dilaporkan ditahan bersama wang berjumlah RM30,000.

Laporan mStar yang memetik sumber mendedahkan bekas Ahli Parlimen Kapar itu turut disiasat kerana didakwa menipu wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beberapa Orang Kurang Upaya.

Bagaimanapun beliau dibebaskan dengan ikat jamin oleh SPRM pagi ini.


Tiada ulasan: