Sabtu, 18 Jun 2016

Pelawaan terhadap Dr Rani sertai PH ibarat 'bisikan syaitan' - Khairuddin

Oleh Shuhaniza Said
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pelawaan terhadap Dr Abdul Rani Osman untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) ibarat 'bisikan syaitan', kata Ketua Penerangan Dewan ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.   
 
Mohd Khairuddin berkata, bisikan sebegitu akan sentiasa ada untuk menggugat prinsip perjuangan seseorang pemimpin dan ternyata Dr Rani berjaya melepasi ujian itu.
 
"PAN, PKR dan DAP sentiasa memujuk ahli PAS bersama mereka, ibaratnya seperti syaitan membisikkan kejahatan untuk mengajak manusia meninggalkan kebenaran.
 
"Saya ucapkan tahniah kepada Dr Rani kerana istiqamah, dan bukan saja dia, ramai lagi yang istiqamah dengan perjuangan kita (PAS) insya-Allah," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Semalam, Dr Rani mendedahkan beliau dipelawa oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu untuk menyertai PAN dan menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar. 
 
Menurut Dr Rani, pelawaan berkenaan bukan pertama kali diterimanya malah terdapat ramai lagi pemimpin pakatan pembangkang itu membuat tawaran berkenaan.
 
Bagaimanapun, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, beliau akan kekal bersama PAS sehingga akhir hayatnya. 
 
Dalam pada itu tambah Mohd Khairuddin, pelawaan berkenaan memperlihatkan PAS ibarat 'anak dara sunti' yang sentiasa 'diintai dan diminati' ramai.   
 
"DAP dulu bergantung kepada PAS untuk (dapat) undi orang Melayu, PKR dulu bergantung kepada PAS, dan hari ini Umno pun cuba juga bersama PAS. 
 
"Tapi PAS ada prinsipnya, dan insya-Allah, ahli PAS yang dididik dengan perjuangan akan berjuang kerana prinsip, bukan kerana orang atau pemimpin. Mereka tak akan lari dari perjuangan Islam, Insya-Allah," ujarnya.
 
Tambah beliau, adalah perkara biasa dalam politik sekiranya terdapat ahli parti yang berpaling tadah dan menyertai parti lain, tetapi ujarnya ahli yang berjuang kerana prinsip akan istiqamah bersama PAS. 
 
"Itu yang membezakan mereka yang sebenar-benar dengan PAS, atau ikut-ikutan saja," kata beliau lagi.
 
Dr Rani akan bertanding mewakili PAS pada PRK Sungai Besar esok dalam saingan tiga penjuru bersama calon Barisan Nasional (BN), Budiman Zohdi dan calon PAN, Azhar Abdul Shukur. 
 
 
 

Tiada ulasan: