Ahad, 19 Jun 2016

Pasar Awam Sekinchan dijamin ‎diberi keutamaan

SINAR HARIAN

Budiman Mohd Zohdi
Budiman Mohd Zohdi 
 
 
SUNGAI BESAR - Tidak tunggu lama. Selepas kemenangannya‎ diumumkan lewat malam tadi, Ahli Parlimen Sungai Besar yang baharu, Budiman Mohd Zohdi sudah memulakan tugas pertamanya hari ini.

Menepati satu daripada janji-janjinya, Budiman yang berkunjung ke Pasar Awam Sekinchan awal pagi tadi memberi jaminan pasar itu akan diberi keutamaan untuk dinaik taraf demi keselesaan peniaga dan menarik lebih ramai pengunjung pada masa depan.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan mandat baharu yang diberikan rakyat terhadapnya pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar semalam untuk terus membela nasib mereka demi kelestarian penduduk setempat.

Menurut Budiman, hasil tinjauannya ke pasar awam itu hari ini memperlihatkan bahawa wakil rakyat kawasan berkenaan dari DAP ibarat langsung tidak mengambil peduli keadaan fasiliti di pasar berkenaan yang semakin usang dengan kemudahan tidak sempurna.

"Saya amat simpati melihat keadaan pasar awam itu sepanjang tiga penggal di bawah naungan DAP dengan longkang tidak diselenggara dengan baik, lantai tidak dicuci malah sistem lampunya juga suram.

"Sedangkan pasar itu amat penting kepada penduduk setempat kerana ia juga menjadi tumpuan rakyat dari sekitar Tanjong Karang untuk mendapatkan barangan keperluan mereka," kata Budiman kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, walaupun Sekinchan diketahui sebagai kubu DAP, namun usahanya untuk menaik taraf serta membaik pulih pasar awam di situ tidak berkait dengan fahaman politik malah ia dilakukan atas tanggungjawabnya sebagai Anggota Parlimen yang baharu.

Justeru itu, katanya, beliau akan berusaha mendapatkan bajet daripada kerajaan Persekutuan bagi menunaikan janjinya itu biarpun terpaksa melalui beberapa prosedur terlebih dahulu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peningkatan sokongan kaum Cina terhadapnya, Budiman hanya tersenyum dan menyatakan ia merupakan mesej jelas bahawa golongan berkenaan lebih bijak memilih pemimpin yang bersederhana namun memahami isu setempat secara mendalam.

"Pada saya, kaum Cina juga mesti didekati tapi perlu bijak dan menggunakan pendekatan yang sesuai malah saya melayan semua golongan tak kira bangsa secara sama rata.

"Saya menerima sokongan mereka (kaum Cina) dengan hati terbuka dan saya akan bantu beri khidmat bakti yang terbaik dan semaksimum mungkin," katanya.

PRK Parlimen Sungai Besar semalam menyaksikan kemenangan berpihak kepada Budiman, calon Barisan Nasional (BN) yang mendapat 16,800 undi untuk menewaskan calon Parti Amanah Negara Azhar Abdul Shukur (7,609 undi) dan calon Pas Dr Abdul Rani Osman (6,902 undi).

Budiman memperoleh undi majoriti yang jauh lebih besar iaitu 9,191 undi, berbanding 399 undi yang diperoleh BN pada pilihan raya umum 2013. - Bernama


Tiada ulasan: