Ahad, 19 Jun 2016

PAS perlu pilih bersama PH atau 'bantu' kemenangan Umno-BN pada PRU14

Oleh Azizul Osman
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) mahu PAS segera membuat keputusan samada untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau bertindak sebagai 'agen' yang membantu kemenangan Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Jelas Setiausaha Agong PAN Anuar Tahir, PAS perlu bertindak segera mencari rakan kerjasama dan bukannya bertindak sebagai pemecah undi dikalangan parti pembangkang yang dilihat memberikan kelebihan kepada Umno-BN.
 
"PAS harus meninjau (mengkaji) kembali mereka sudah kehilangan separuh undi yang mereka dapat (dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar), apakah mereka mahu terus bersendirian.
 
"(Atau) (PAS) hanya untuk memecah undi dan bantu kemenangan Umno BN sahaja dan dapat ruang untuk kerjasama dengan kerajaan jadi penasihat, menduduki badan-badan agensi pemerintah, katanya jadi badan dakwah sahaja. Kalau itu mereka (PAS) kekal dalam keadaan begitulah," katanya mengulas mengenai kekalahan PH dan PAS dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam.
 
Umum mengetahui, PAS kini membentuk blok ketiga dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) namun gabungan itu masih kabur daripada segi perjuangan dan pelaksanannya.
 
Bercakap kepada Antarapos, Anuar berkata PAS perlu bersikap terbuka terhadap situasi terbaru politik pembangkang dan menerima PAN sebagai rakan sekutunya bagi menghadapi Umno BN.
 
Malah beliau mahu PAS berhenti melabelkan PAN dan kembali bekerjasama dalam gabungan pembangkang untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pembangkang.
 
"Barangkali (PAS) baru kalah tidak boleh menerima (kekalahan), tambah pula PAS lihat kami ini macam budak kecil. Bukan saingannya, dilihat kami sebagai parti serpihan, yang tiada sokongan yang akan jadi parti lain seperti Semangat 46, HAMIM (Parti Hizbul Muslimin Malaysia), Berjasa, kami hanya parti nyamuk.
 
"Ternyata bahawa PRK kali ini tiada siapa boleh menuduh bahawa Amanah (PAN) itu parti nyamuk, tunggu dan lihat perkembangannya dalam setahun dua lagi," katanya.
 
Semalam, PH terus mempelawa PAS agar kembali berunding demi kebaikan pembangang.
 
PAN menerusi Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berkata, kekalahan partinya di PRK Kerusi Parlimen Kuala Kangsar adalah isyarat di mana rakyat mahukan gabungan parti pembangkang kembali utuh.
 
Malah jelas Anuar, PH sentiasa membuka ruang untuk PAS berbincang dengan parti itu lebih-lebih lagi persediaan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
 
"Kita tidak pernah tutup pintu kepada mana-mana (parti) cuma kita pegang ketiga-tiga parti yang ada dalam PH harus bersama-sama mengambil keputusan kalau PAS mahu menyertai kita akan bincang. 
 
"Kalau sekiranya mereka jujur untuk itu, saya rasa tidak ada sebab untuk tidak menerima mereka. Dari dulu kita bagi ruang sampai jadi lambat pemilihan (untuk bertanding PRK)," ujar Anuar lagi.
 
PRK Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru diantara PAS, PAN dan BN yang akhirnya memberikan kelebihan kepada BN yang memperlohi majoriti bergaya dengan majoriti 9,191.
 
Di Kuala Kangsar pula menyaksikan Datin Mastura Yazid memperolehi 12,653 undi untuk mengekalkan kerusi Kuala Kangsar dengan majoriti 6,969. 
 
Justeru dengan keputusan itu Anuar menyalahkan PAS yang enggan mengadakan sebarang perbincangan dengan PH bagi menetapkan parti mana yang harus bertanding di kedua-dua PRK berkenaan.
 
"Sehingga lambat kita buat keputusan siapa yang akan mewakili PH kerana nak bagi ruang perundingan dengan PAS. Kalau boleh bincang supaya elak pertandingan 3 penjuru tapi mereka tetap dengan sikap mereka yang degil itu. 
 
"Itulah terjadi akhirnya PH jadi lambat semuanya kerana masih bagi ruang kepada PAS mahu melihat situasi sebenar politik negara," dakwa Anuar.
 
BN berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam apabila berlaku pertembungan antara PAS dan PH yang diwakili PAN khsusnya pengundi Cina yang kembali memilih BN.
 
 

Tiada ulasan: