Rabu, 22 Jun 2016

Pas bakal hilang Kelantan, Perak dan Selangor pada PRU14, ramal Kit Siang

MALAYSIA DATELINE
 
 
Lim Kit Siang Lim Kit Siang Pas bakal berdepan kemungkinan untuk hilang kuasa ke atas negeri Kelantan yang telah ditadbirnya sejak 1990, selama 23 tahun berdasarkan keputusan diperoleh Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar,Sabtu lalu, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

 “Pada PRU ke-14, Pas Kelantan bakal berdepan kemungkinan untuk hilang kuasa ke atas negeri yang telah ditadbirnya sejak 1990, selama 23 tahun di bawah (Allhayarham) Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kerana ramalannya sebelum PRK ternyata mengena apabila Pas dibuktikan begitu banyak undi setelah berpisah daripada Pakatan Harapan.

Pas hanya memperolehi 6,902 undi di Sungai Besar dan 5,684 undi di Kuala Kangsar.

“Pas memperolehi 18,296 undi di Sungai Besar dan 13,136 undi di Kuala Kangsar pada PRU 2013.

“Mereka kehilangan 11,394 undi di Sungai Besar dan 7,452 undi di Kuala Kangsar dalam PRK lalu,” jelas Ketua Parlimen DAP itu dalam kenyataannya hari ini dilapor Roketkini.

Menurutnya lagi, Pas hanya tewas dengan majoriti tipis 399 undi di Sungai Besar pada PRU ke-13, namun undi yang mereka perolehi pada masa itu adalah atas nama Pakatan Rakyat.

“Saya telah berhujah bahawa cerminan yang tepat untuk sokongan bagi Pas ialah keputusan PRU tahun 2004, apabila Pas yang bertanding ‘sendirian’ mendapat 7,988 undi di Sungai Besar dan 5,748 undi di Kuala Kangsar,” ujarnya lagi.

Malahan Pas, katanya lagi, tidak mampu mengulang pencapaian tahun 2004 di kedua-dua kawasan tersebut. Gabungan pembangkang sebelum ini – Barisan Alternatif, katanya terkubur sebelum PRU pada 2004, justeru memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional(BN) yang dipimpin Tun Abdullah Ahmad Badawi pada waktu itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut meramalkan Pas akan bungkus di Selangor dan Perak, berdasarkan keputusan PRK Sabtu lalu.

“Pas akan menyusut daripada mempunyai 15 kerusi Dun di Selangor, dan lima kerusi di Perak pada PRU ke-13 sehingga langsung tidak mempunyai kerusi, sepertimana yang berlaku dalam tahun 2004,” jelasnya.

Tiada ulasan: