Selasa, 21 Jun 2016

PAS: AMANAH akan hilang deposit tanpa DAP, PKR

MALAYSIAKINI


Calon Parti Amanah Negara (AMANAH) akan hilang wang pertaruhan jika tidak kerana DAP dan PKR, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Oleh itu, katanya, AMANAH tidak mampu menjadi pengganti PAS dalam Pakatan Harapan sebagaimana yang dicanang sebelum ini dalam pakatan pembangkang.

“Walaupun jumlah undinya besar di (Parlimen) Sungai Besar tapi saya percaya 90 peratus undi itu datang daripada DAP dan juga PKR, (dan) bukan undi sebenar AMANAH.

"Dan saya percaya kalau AMANAH bertanding secara bersendirian macam kita PAS kemungkinan besar mereka akan hilang deposit," katanya yang dipetik Bernama di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata jika melihat keputusan di peti-peti undi di kedua-dua Parlimen berkenaan, AMANAH juga gagal menawan hati pengundi Melayu sekali gus menunjukkan parti itu tidak mendapat sokongan daripada masyarakat Melayu.

"Jadi dari sudut ini kita nampak AMANAH tidak dapat menggugat PAS sebab undi
PAS ini tidak berubah, itu yang penting," katanya.

Pada pilihan raya kecil Sabtu lalu, calon AMANAH Azhar Abdul Shukor menduduki tempat kedua dalam pertandingan tiga penjuru yang menyaksikan BN muncul sebagai pemenang.

Azhar mendapat 7,609 undi manakala calon PAS Dr Abdul Rani Osman mendapat 6,902 undi.

Di Kuala Kangsar, calon AMANAH Dr Ahmad Termizi Ramli menduduki tempat ketiga di belakang calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad dalam pertandingan empat penjuru yang juga dimenangi oleh BN.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan parti serpihannya itu sebagai parti nyamuk.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu, selepas keputusan diumumkan Sabtu lalu berkata, terbukti bahawa mereka bukan parti kecil seperti didakwa.

Amar yang juga adalah timbalan menteri besar Kelantan juga memperlekehkan parti serpihan itu dengan mendakwa 'oren' AMANAH nanar, warna serupa tok sami manakala lambangnya pula menyerupai sebuah stesen tv di India, Imayam TV.

Tiada ulasan: