Khamis, 9 Jun 2016

PAN ugut media guna 'AMANAH'

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA KANGSAR: Parti Amanah Negara (PAN) hari ini mengugut media yang merujuknya sebagai “PAN” supaya menggunakan nama “Amanah” atau berdepan tindakan dilarang menghadiri sidang media parti itu.
 
“Masih ada media yang merujuk kami sebagai PAN. Tidak kira apa kecenderungan anda, sebagai media marilah kita bersikap profesional,” kata Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi dipetik portal Free Malaysia Today (FMT).
 
“Jika tidak mungkin, kita perlu kecualikan sebahagian daripada anda daripada (membuat liputan) sidang media kami yang akan datang. Harap dapat sampaikan kepada editor anda.”
 
Menurut Asmuni, “Amanah” adalah nama yang diiktiraf Pendaftar Pertubuhan dan penggunaan “PAN” mengelirukan pengundi.
 
Asmuni dalam pada itu mempersoalkan mengapa PAS lebih berminat menyerang pembangkang.
 
“Kami tidak berperang dengan mana-mana parti pembangkang. Tiada guna parti itu halakan serangan kepada Pakatan Harapan. Bukan kami yang mentadbir negara dan Perak,” kata Asmuni.
 
“Kenapa berterusan serang kami dan bukannya BN. Adakah itu tanda hubungan kerjasama dan solidariti dengan mereka? Jika ya, nyatakan secara terbuka.”
 
Kenyataan Asmuni itu sehari selepas bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, yang mewakili PAS menentang PAN dan BN di Sungai Besar, menolak sebarang kemungkinan partinya akan bergabung dengan Umno.
 
“Kalau ada kerjasama dengan Umno, saya yang akan jadi orang pertama tinggalkan PAS. Tidak ada rancangan seumpama itu,” Rani dipetik sebagai berkata.
 
Sementara itu, Asmuni menyeru PAS supaya menumpukan usaha melawan BN.
 
“Musuh politik kita adalah BN dan kita tiada masa untuk berperang sesama sendiri. Inilah permintaan dari kami,” katanya

Tiada ulasan: