Selasa, 7 Jun 2016

PAN guna isu lapuk tarik sokongan rakyat - Shamsul

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic


SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) menggunakan sentimen agama mendapat sokongan rakyat di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar kata seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional Perak.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, PAN sudah mula takut dan sedar bahawa mereka tiada kekuatan di Kuala Kangsar sehingga terpaksa menggunakan kalimah 'Allah' sebagai modal berkempen.

Beliau berkata demikian ketika membidas bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang mendakwa Allah sengaja memilih Kuala Kangsar untuk diadakan PRK bagi 'mengajar' pimpinan Umno-BN kerana merampas negeri itu daripada Pakatan Rakyat (PR) pada Februari 2009.

Menurut Nizar, PRK yang akan berlangsung 18 Jun depan adalah peluang kepada penduduk Kuala Kangsar sekali lagi memilih parti yang dirasakan benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat.

"Nizar nampaknya cuba menggunakan sentimen agama bagi menarik sokongan rakyat. Malah menyatakan Allah memilih PRK di Kuala Kangsar bagi mengajar BN merampasnya.

"Saya fikir tidak sepatutnya (perkataan itu) dikeluarkan dan mengunakan perkataan Allah untuk menarik sokongan adalah tidak sesuai sama sekali dalam PRK dan ini menunjukan Amanah (PAN) dalam keadaan ketakutan kerana nampaknya Nizar tahu Amanah tiada kekuatan di sana," katanya kepada Antarapos melalui Whatsapp.

Shamsul juga menyifatkan PAN ketandusan isu di PRK Kuala Kangsar apabila terpaksa membangkitkan sejarah ketika Barisan Nasional (BN) merampas kerajaan negeri Perak dari Pakatan Rakyat pada tahun 2009.

Katanya, isu yang diangkat PAN ini sudah lama dilupai oleh pengundi di samping kerajaan BN telah banyak menjalankan pembangunan dan kebajikan sejak mengambil alih dari Pakatan Rakyat.

"Kenyataan Nizar hanya  menunjukkan bahawa Amanah (PAN) ketandusan isu dlm PRK Kuala Kangsar ini. Malah isu berkenaan telah lama dilupai oleh pengundi disini.

"Apa tah lagi pembangunan dan kebajikan serta pelbagai program Kerajaan BN Perak lakukan sejak mengambil alih kerajaan Perak memberikan banyak kebaikan pada rakyat menyebabkan rakyat sudah lupa isu berkenaan malah bersyukur BN dapat memerintah Perak,"katanya lagi.

BN merampas kerajaan negeri Perak dari Pakatan Rakyat pada 2009, selepas Sultan Perak ketika itu, Sultan Azlan Shah, menolak permohonan Nizar untuk membubarkan Dewan berikutan tiga ADUN - dua dari PKR dan satu dari DAP - meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil Bebas yang mesra BN

Tiada ulasan: