Jumaat, 17 Jun 2016

Nik Abduh: Biarlah Amanah nak kata mereka parti Islam

Nik Abduh: Biarlah Amanah nak kata mereka parti Islam
Nik Mohamad Abduh ketika berucap dalam program santai bersama pemuda, kelmarin.


KUALA KANGSAR - “Amanah (Parti Amanah Negara) nak dakwa dia parti Islam. Biarlah dengan dakwaannya itu.” Demikian menurut Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tidak boleh ada dua parti politik Islam di negara ini melainkan Pas.

Menurutnya, ini kerana perjuangan Pas dalam menegakkan syiar Islam adalah konsisten, memiliki ulama dalam parti dan perjuangannya masih belum menyimpang.

“Hari ini Amanah kata dia parti Islam. Ikut dia la nak dakwa. Tetapi pecah undi Islam ini siapa nak bertanggungjawab? Takkan nak salahkan Pas?

"Pas sudah 65 tahun, tidak terbukti tergelincir, ulama masih teguh bersama Pas, ahli masih ramai bersama Pas. Takkan nak salahkan Pas?,” katanya ketika program santai bersama pemuda di sini, kelmarin.

Beliau berkata, sekiranya mahu Islam bertapak di Malaysia, undi perlulah diberikan kepada satu parti Islam.

“Maka tidak boleh ada dua parti Islam walaupun boleh ada 1,000 NGO (pertubuhan bukan kerajaan) kerana NGO tidak merosakkan kesatuan ummah.

“Yang rosak adalah apabila undi ketika bertembung dalam pilihanraya memilih pemimpin, kita pecah undi, manakala orang yang tidak mahu Islam, bersatu undi,” katanya.


Tiada ulasan: