Selasa, 7 Jun 2016

Nancy enggan hadir Parlimen undi usul Hadi

 
Menteri berasal dari Sarawak itu berkata tidak ada keperluan untuk menambah hukuman di bawah undang-undang Syariah.





SUNGAI BESAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri hari ini bertegas tidak akan mengundi dan hadir ke Parlimen sekiranya Rang Undang-Undang Persendirian Akta 355 Mahkamah Syariah dibentangkan.

Menurutnya, beliau tetap dengan kenyataannya sebelum ini dan mengikut kenyataan yang dibuat Presiden Parti Bumiputera Bersatu (PBB),Tan Sri Adenan Satem.

“Kita hidup dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama. Saya tetap dengan kenyataan presiden saya. Memandangkan di Sarawak rakyat bukan Islam lebih ramai berbanding yang menganut agama Islam.

“Bukan sahaja saya akan menolak, saya juga tidak akan berada di sana (Parlimen) untuk mengundi,” katanya kepada pemberita di SMK Sungai Besar, hari ini.

Ujarnya, ia terserah kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang walaupun menurut Nancy, RUU itu bukan hudud tetapi usaha memberi kuasa lebih luas kepada Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman.

“Kita harus faham hudud ataupun bukan hudud, apa yang mereka lakukan adalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Apa yang kita ada ini sudah mencukupi, kita tidak perlu menambah lagi hukuman. Tetapi jika mereka tetap mahu lakukan, ia terserah kepada mereka,” katanya.

Tiada ulasan: