Selasa, 14 Jun 2016

Menang atau kalah pilihan raya, GST kekal 6% - menteri

Shakira Buangn


LIHAT VIDEO DI SINI
 
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah menafikan dakwaan bahawa kerajaan akan menaikkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) daripada 6 peratus kepada 8 peratus jika BN menang dua pilihan raya kecil (PRK) 18 Jun ini.

Tegas Ahmad Husni, adalah tidak logik bagi kerajaan tiba-tiba mahu menaikkan kadar itu hanya kerana memenangi pilihan raya.

“Cerita naikkan GST ini oleh pembangkang, kita tak pernah layan sebab kita tak pernah berhasrat nak naikkan GST.

“Tak logik dan tak masuk akal tiba-tiba kerajaan nak naikkan GST dari 6 peratus kepada 8 peratus,” kata Ahmad Husni kepada pemberita di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Kangsar, hari ini.

Bekas Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman semalam dilaporkan sebagai berkata, pengundi Kuala Kangsar akan berhadapan kenaikan GST sebanyak 2 peratus jika BN menang.

Hamidah dalam siri kempen bagi memenangkan calon parti Amanah Negara (AMANAH) semalam berkata, kemenangan BN akan ditafsirkan sebagai rakyat telah menyokong GST yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata, pembangkang sudah jelas dari dulu tidak mempunyai apa-apa prinsip sebaliknya hanya bertindak menanam rasa benci rakyat kepada kerajaan.

“Kalau kita tengok dari sejarah dalam politik apa yang pembangkang ada untuk diuar-uarkan bagi mendapatkan sokongan selain membangkitkan rasa benci rakyat kepada kerajaan, itu motif dia. Apa sahaja yang dilakukan kerajaan mendapat bangkangan dari mereka.

“Dulu kita buat lebuhraya Utara-Selatan tak dibangkitkan? Kita buat Putrajaya, KLIA, Menara Berkembar Petronas tak dibangkitkan semua oleh mereka? Tapi apa yang berlaku sekarang?

“Tidakkah ia menjadi ikon kepada negara. Kalau Lapangan Terbang Subang tidak ada dan terlalu kecil, kalau tak ada lebuhraya Utara-Selatan yang sekarang ini pun boleh tahan sesaknya, kalau tak ada Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara dan semua tertumpu di Kuala Lumpur yang sesak itu apa mesyuarat pun semua jadi lewat.

“Jadi, dari dulu sampai sekarang itulah prinsip pembangkang mereka tidak ada apa yang ingin dibawakan tetapi hanya rasa benci yang ditanam kepada kerajaan,” kata Ahmad Husni.


Tiada ulasan: