Selasa, 14 Jun 2016

MCA: DAP ‘pukau’ Cina sokong PAS 'jingga'

MALAYSIAKINI


MCA membidas DAP yang didakwanya "memukau" masyarakat Cina supaya menyokong Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dituduh sebagai parti PAS yang berbaju jingga.

"AMANAH bukannya apa-apa tetapi adalah PAS, parti politik yang berbaju jingga, perbezaan hanya di luar, namun sama pada bahagian dalam.

"Dari atas ke bawah, pengurusan dan akar umbi AMANAH berasal daripada PAS, mereka telah lama dipengaruhi oleh PAS dan mempunyai pemikiran sama," kata Pengerusi Biro Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen dalam satu kenyataan hari ini.

Hujahnya, walaupun baju jingga AMANAH mungkin kelihatan cantik dan baru, dan modus operandi semasanya berbeza dengan PAS, namun kedua-dua parti itu masih sama di bahagian dalam.

Chai berkata DAP tidak sabar-sabar untuk menjenamakan AMANAH sebagai parti baru dan berbeza daripada PAS selepas menyedari kesilapannya dalam mempromosikan parti Islam itu kepada masyarakat Cina.

Beliau berkata sebaik sahaja hubungan DAP dengan PAS menjadi keruh, DAP cepat menjauhkan diri dan menggunakan AMANAH untuk menutup kelemahannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, AMANAH, sebagai parti baru yang memerlukan sokongan bukan Islam bersembunyi di sebalik agenda konservatif dan menggunakan DAP untuk menutup imejnya.

Beliau berkata AMANAH akhirnya akan menanggalkan baju jingga itu dan mendedahkan nilai PAS yang tersirat di sebaliknya.

"DAP sedar tentang perkara ini tetapi membenarkan dirinya untuk digunakan oleh AMANAH demi memancing undi dan juga membantu memukau masyarakat Cina supaya mempercayai parti itu," katanya.

Chai berkata, tindakan DAP itu lebih memalukan apabila bekerjasama dengan PAS dalam kerajaan negeri Selangor tetapi pada masa yang sama menyokong AMANAH.

Beliau berkata ini membuktikan DAP tidak ikhlas terhadap masyarakat Cina, dan hanya mahu berpaut pada kuasa.

"Akhirnya, masa depan negara akan tergadai berikutan pemusnahan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan pelbagai bangsanya,” katanya

Tiada ulasan: