Khamis, 16 Jun 2016

Mahkamah benar PM tangguh saman fitnah terhadap Harakahdaily

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menangguhkan perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap Harakahdaily berhubung artikel 'Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz'. 
 
Perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sepatutnya bermula 23 Jun ini. 
 
Tiga panel hakim diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan itu yang dibuat peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib. 
 
Mohd Hafarizam memohon penangguhan itu atas alasan anak guamnya mempunyai dua lagi rayuan di Mahkamah Rayuan berkaitan kes saman itu yang belum didengar dan diputuskan. 
 
Sehubungan itu, beliau memohon penangguhan berkenaan sementara menunggu keputusan terhadap kedua-dua rayuan itu. 
 
Pada 7 April lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memasukkan dua kenyataan menafikan pembabitannya berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion. 
 
Kenyataan itu, masing-masing dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara, yang menyatakan Najib tidak terbabit dalam salah laku berhubung 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion tidak mempunyai kaitan dengan syarikat itu. 
 
Satu lagi rayuan adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Mei lalu bahawa kes saman terhadap Ketua Pengarang Harakahdaily, Taufek Yahya dan Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob, akan diputuskan melalui perbicaraan penuh. 
 
Najib memfailkan saman fitnah itu pada 18 Mac tahun lalu dengan menamakan Rosli dan Taufek sebagai defendan pertama dan kedua. 
 
Dalam penyata tuntutannya, Najib mendakwa Rosli menulis perkataan fitnah dalam artikel bertajuk 'Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz' pada 19 Februari 2015, yang diterbitkan defendan kedua di portal Harakahdaily.
 
 

Tiada ulasan: