Selasa, 14 Jun 2016

Mahathir mahu diheret ke mahkamah supaya boleh soal Najib dan isteri

mahathir kuala kangsar
Oleh Syazana Hasanudin


KUALA KANGSAR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak kisah diheret ke mahkamah atas tindakannya mendedahkan salah laku Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada umum.

Beliau berkata, setakat ini polis telah memanggilnya sebanyak tiga kali untuk disoal siasat berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap salah laku Najib.

Namun, jelas Mahathir, beliau hanya akan membuka mulut mengenai dakwaan yang dibuat terhadap Najib itu di mahkamah.

“Saya pun pernah kena panggil tiga kali. Tanya saya macam-macam soalan.. Kalau nak saya jawab, dakwa saya ke mahkamah. Dalam mahkamah, saya boleh jawab,” katanya semasa berucap di acara Persidangan Khas Skandal 1MDB dan Derma RM4.2 bilion semalam.

Tambah Tun Mahathir lagi, di mahkamah nanti, beliau menerusi peguamnya boleh bertanya kepada Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur tentang kesahihan gambar Rosmah menaiki jet peribadi yang memuatkan beg-beg besar diangkut oleh 12 individu.

Kesal dengan tingkah laku ‘Wanita Pertama Malaysia’ yang menggunakan pesawat peribadi untuk menghadiri majlis di Istanbul pada 27 Mei lalu, Mahathir berkata ada banyak pengangkutan lain boleh digunakan Rosmah bagi menjimatkan wang kerajaan.

“Jika kita mahu ke mana-mana, kita ada Malaysia Airlines (MAS) dan kita boleh pergi mana-mana sahaja, tetapi dia menyewa jet dengan kos RM80 juta untuk dua bulan. Dan kemudian mereka kata, mereka tidak ada wang,” katanya.

Menurut mantan perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu, perkara itu tidak wajar berlaku memandangkan banyak janji yang ditabur oleh kerajaan UMNO BN sebelum ini masih belum ditunaikan.

“Dulu, mereka berjanji nak kasi Langkawi RM5 bilion dalam masa lima tahun. Tapi, sekarang dah lebih lima tahun, masih tidak ada apa-apa.”

“Setiap kementerian pula digesa kurangkan perbelanjaan sebanyak 20 peratus untuk menjimatkan wang kerajaan, tapi mereka (Najib dan Rosmah) bermewah-mewah,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: