Isnin, 6 Jun 2016

Lim akui 4 penjuru beri kelebihan pada BN

Bernama   
 
 
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengakui bahawa pertandingan empat penjuru bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata ini dapat dilihat apabila PAS yang kini bukan lagi sekutu DAP lebih bersedia menentang pembangkang sendiri dalam pertandingan itu berbanding menentang BN.

"Tentu di sini kita lihat ada kelebihan pada BN. Lebih-lebih lagi bila sekarang PAS tak lawan BN lagi, PAS nak lawan pembangkang saja, jadi tentu ini beri kelebihan kepada BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Medan Selera Perkampungan Permatang Tinggi di Bukit Mertajam hari ini.

Lim yang enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu berkata pihaknya menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan dan akan terus berusaha dan membantu jentera Parti Amanah Negara (Amanah) dalam pilihan raya itu.

PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Barisan Nasional (BN), PAS, Amanah dan Bebas.

Calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid akan ditentang Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli, dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar terdiri 22,496 Melayu, Cina (7,757), India (2,287), dan selebihnya ialah Bumiputera Sarawak, Bumiputera Sabah, dan Orang Asli.

Pengundian diadakan pada 18 Jun ini.

Tiada ulasan: