Khamis, 16 Jun 2016

Kerajaan digesa serius elak insiden nelayan kita ditangkap di perairan Indonesia

teresa_insidennelayan

Oleh Fatih Hassan Nordin


SUNGAI BESAR: Kerajaan Persekutuan digesa supaya mengadakan perbincangan komprehensif dengan kerajaan Indonesia berhubung pertikaian sempadan perairan di antara kedua-dua negara.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, ini bagi mengelakkan insiden bot-bot milik nelayan tempatan yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia dihapuskan atau diletupkan yang sekaligus menjejaskan keselamatan mereka.

“Perkara ini bukanlah perkara baru bagi golongan nelayan di Sekinchan malah di Sungai Besar.

“Ia sudah berlaku berkali-kali, di mana nelayan kita dan juga kapal mereka ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia. Malah kita juga tahu sudah banyak kapal mereka telah diletupkan,” katanya dalam sidang media Pakatan Harapan di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas janji yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi selasa lalu berhubung penahanan dua nelayan dari Sekinchan yang dijangka dibebaskan semalam.

Malah, pada hari yang dijanjikan, Zahid yang juga Menteri Pertahanan terus mengulangi semula janjinya itu dengan mengumumkan bahawa dua lagi nelayan dari Johor akan dibebaskan pada hari yang sama.

Namun, menurut Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh, rundingan pembebasan nelayan tidak memadai, memandangkan perkara pokok masalah adalah mengenai sempadan perairan yang seringkali menjadi pertikaian dan membawa kepada masalah penahanan nelayan saban tahun.

“Justeru, bukan sahaja Kementerian Luar Negara sahaja perlu memainkan peranannya, malah Kementerian Dalam Negeri juga harus turut bertindak,” ujarnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: