Khamis, 9 Jun 2016

Kempen PAN di Kuala Kangsar terus hambar

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KUALA KANGSAR: Walaupun menampilkan Presidennya, Mohamad Sabu sebagai penceramah, kempen Parti Amanah Negara (PAN) di beberapa kawasan di sini masih lagi gagal menarik khalayak yang ramai khususnya kaum Melayu.
 
Ceramah anjuran parti itu di Taman Seri Manong, malam tadi hanya dihadiri kurang 40 hadirin walaupun ia diadakan selepas solat sunat tarawih bagi memberi peluang untuk lebih ramai penduduk hadir.
 
Selain Mohamad atau Mat Sabu, turut tampil sebagai penceramah adalah Naib Presiden PAN, Hasanudin Yunus dan calon PAN, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli.
 
Seperti yang dijangka, kempen PAN mengitar isu lapuk bersabit beberapa isu nasional membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
 
Ahmad Termizi menyifatkan tindakan memberi undi kepada PAN akan menyelamatkan negara sekaligus turut 'mempunyai jawapan kepada Allah' kerana sudah melaksanakan tanggungjawab yang sebenarnya.  
 
"Iktikad kita, usaha dan ikhtiar manusia tidak memberi bekas kepada qada dan qadar Allah. Tapi kita akan dipertanggungjawabkan terhadap usaha dan ikhtiar kita.
 
"Sama-samalah kita berusaha untuk memastikan kita melakukan tanggungjawab kita menyelamatkan negara supaya kita ada jawapan di hadapan Allah, supaya ada jawapan kepada anak cucu kita yang akan bertanya mengapa kita tidak melakukan sesuatu ketika ada peluang untuk melakukan perubahan," katanya di hadapan hadirin. 
 
Ahmad Termizi yang tiba pada jam 11.00 malam hanya sempat meluangkan masa kira-kira tujuh minit menyampaikan ceramahnya sebelum bergegas meninggalkan lokasi ceramah untuk agenda lain.
 
Orang ramai terus bersurai sebaik saja Ahmad Termizi menghabiskan ceramah beliau.
 
Termizi akan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid, calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad dan seorang calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
 
 

Tiada ulasan: