Khamis, 16 Jun 2016

Kementerian Pengangkutan cadang kenderaan awam guna alat pengehad kelajuan - Aziz Kaprawi

Bernama 
 
Kementerian Pengangkutan cadang kenderaan awam guna alat pengehad kelajuan - Aziz Kaprawi
AB AZIZ: Sistem itu yang telah diwajibkan ke atas kenderaan perdagangan sebelum ini dilihat perlu setelah mengambil kira kekerapan kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan awam seperti bas pada masa ini. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bercadang mewajibkan penggunaan alat pengehad kelajuan atau "Speedlimiter Device" ke atas kenderaan pengangkutan awam pada masa akan datang.

Timbalan Menterinya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, sistem itu yang telah diwajibkan ke atas kenderaan perdagangan sebelum ini dilihat perlu setelah mengambil kira kekerapan kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan awam seperti bas pada masa ini.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menguatkuasakan penggunaan alat pengehad kelajuan terhadap kenderaan perdagangan mulai 1 Jan 2015 bagi model baharu dan bagi model kenderaan 'in-production', ia akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2017.

Ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Dr Johari Mat mengenai Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (KEJARA), Ab Aziz berkata pemandu kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam yang terlibat dengan sebarang kesalahan serius akan mendapat mata demerit sehingga dua kali ganda berbanding kesalahan yang dilakukan pemandu kenderaan persendirian.

Beliau berkata, JPJ telahpun membangunkan Sistem Profiling Pemegang Lesen Vokasional yang melibatkan pemandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan pemandu kenderaan barangan (GDL) yang mengandungi rekod kesalahan dan senarai hitam di bawah sistem trafik Polis Diraja Malaysia.

"Aplikasi dalam bentuk cetakan ini mengandungi maklumat seperti demografik pemandu, lesen pemandu, penggantungan lesen, senarai hitam pemandu dan rekod saman," katanya.
Jelasnya, sistem profiling ini dapat menangani isu pemandu bas dan lori yang bermasalah dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan kedua-dua kenderaan itu.

Tiada ulasan: