Khamis, 16 Jun 2016

Irmohizam: 5 ahli keluar parti tak jejas semangat Umno

MALAYSIAKINI


Tindakan lima anggota Umno kawasan Sungai Besar menyertai PAS semalam langsung tidak melemahkan semangat parti untuk melihat calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi menang kerusi berkenaan, Sabtu ini.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata perkara itu adalah bukti kebebasan demokrasi yang diamalkan di negara ini.

"Terpulanglah kepada mereka... yang pasti perkara tersebut tidak melemahkan semangat parti untuk melihat calon BN menang di kawasan Parlimen Sungai Besar.

"Paling penting bagi saya adalah disiplin dan perkara tersebut adalah perkara yang menjamin keutuhan dalam BN," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa LKIM bersama media di Sungai besar semalam.

Petang semalam, lima anggota Umno, termasuk bekas ketua Pemuda Umno cawangan Muara Sungai Limau, Rosli Semin mengumumkan menyertai PAS di Markas PAS Simpang Lima di Sungai Besar.

PRK Sungai Besar pada Sabtu ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Budiman dengan calon PAS yang merupakan ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman, manakala AMANAH mempertaruhkan Pengerusi Amanah Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.

Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar dan kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon yang merupakan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.- Bernama

Tiada ulasan: