Ahad, 12 Jun 2016

HISHAM LAGI PELIK....

shahbudindotcom


Hishammuddin Hussein, Naib Presiden UMNO yang dibisik-bisikkan bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri dilaporkan pelik terhadap tindakan Tun Mahathir Mohamad yang sanggup turun padang memberi sokongan kepada calon Amanah dalam pilihanraya kecil kali ini.

"Saya pelik sebab peringkat awal Tun Mahathir kata akan sokong pembangkang untuk kalahkan BN, tetapi sekarang nampaknya beliau hanya sokong Amanah saja sedangkan Pas pun pembangkang juga.

"Jadi saya tak faham, menyokong pembangkang pun tak jelas, pembangkang yang mana? Pas ke? Amanah ke? DAP ke? Semalam (di Sungai Besar) beliau turun di atas platform DAP.

"Saya tak faham rasionalnya Tun Mahathir berbuat begitu," kata sepupu Najib itu ketika bercakap dengan media di Kuala Kangsar.
 
 
 
 
Alahai...kesiannya, macam mana nak jadi Perdana Menteri kalau benda semudah ini pun sukar memahaminya.

Kalau Hishammudian mengatakan beliau pelik dengan sikap Tun Mahathir, kegagalan memahami langkah mudah bekas Perdana Menteri itu jauh lebih pelik lagi sebenarnya.

Kenapa perlu pelik sedangkan Tun Mahathir awal-awal lagi sudah mengatakan beliau akan turun berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk membantu calon daripada parti yang menyokong Deklarasi Rakyat?

Susah ke nak faham parti mana yang menyokong Deklarasi Rakyat?

Tentang Tun Mahathir turun dalam program anjuran DAP di Sungai Besar, bukankah parti itu merupakan salah satu komponen Pakatan Harapan yang turut dianggotai PKR dan Amanah?

Apa salahnya Tun Mahathir hadir dalam program anjuran DAP yang merupakan sebahagian aturcara kempen memenangkan calon Amanah yang bertanding?

Tidakkah Ia lebih kurang sama macam Najib hadir dalam program anjuran MCA saja, lalu apa yang peliknya?

Hishammuddin juga tidak perlu pelik mengapa Tun Mahathir tidak memberi sokongan kepada Pas kerana mustahil beliau tidak menyedari bahawa parti itu kini lebih ghairah untuk "berpeluk dan bergesel pipi"  dengan Najib berbanding menentang kemungkaran dan penyelewengan dalam negara.

Takkan Hishammuddin tak sedar Hadi dan Najib sudah sedondon berbaju merah jambu, malah Pas dalam muktamarnya baru-baru ini juga turut bertanjak, berpulut hijau dan menjulang keris gergasi?

Jadi apa yang peliknya bila Tun Mahathir tidak menyokong Pas, tetapi memberi sokongan kepada calon Amanah yang bukan saja menyokong Deklarasi Rakyat, bahkan ingin bersama-sama dalam usaha menyelamatkan negara dek onar dan bahana angkara Najib yang sudah menjadi perbualan di seluruh dunia?

Dalam waktu yang sama, sebagai pemimpin dan manusia yang waras, apakah Hishammuddin tidak pelik dengan skandal dan hutang yang mencanak tinggi melibatkan 1MDB?

Apakah Hishammuddin tidak pelik dengan dongengan bahawa ada orang sanggup menderma sebanyak RM2,600 juta kepada Najib?

Tidak tercabarkah rasa kepelikan dalam dirinya apabila Najib mengatakan beliau tidak tahu wang sebanyak RM42 juta dalam akaun peribadinya datang daripada SRC International, sebuah anak syarikat milik Kementerian Kewangan?

Tidakkah lebih pelik di sebalik tidak tahu itu, wang tersebut sebaliknya bukan saja tidak dipulangkan, tetapi turut dibelanjakan Najib, antaranya untuk membayar hutang kad kreditnya?

Tidak pelikkah sebagai salah seorang menteri apabila melihat bagaimana isteri Najib, Rosmah Mansor boleh berbelanja mewah di seluruh dunia sambil bergentayangan menaiki jet milik kerajaan?

Bukankah semua yang dilakukan Najib dan Rosmah itu pelik-pelik belaka?

Memang pelik kalau Hishammuddin tak terasa pelik dengan semua perkara pelik yang dilakukan Najib, tetapi tiba-tiba boleh pelik bila Tun Mahathir turun padang menyokong Amanah yang mewakili Pakatan Harapan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. 


Tiada ulasan: