Ahad, 19 Jun 2016

Hidupkan semula Pakatan Rakyat, kembali bersatu - PRM

MALAYSIAKINI


Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyeru Pakatan Rakyat 'dihidupkan' semula dengan bersatu untuk melawan BN, melaksanakan dasar dan mengambil tindakan yang dapat memenuhi kehendak dan kepentingan rakyat bagi membawa perubahan.

Setiausaha Agungnya, Koh Swe Yong berkata, kemenangan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan rakyat tidak mempunyai pilihan yang lebih baik walaupun ada sebahagian pengundi yang menuntut perubahan.

"Pada masa yang sama, peningkatan undi BN itu boleh dikatakan bahawa rakyat menunjukkan kekecewaan terhadap ketiga-tiga bekas komponen Pakatan Rakyat," katanya dalam kenyataan.

Dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu, walaupun BN memperoleh majoriti undi sebanyak 9191 undi di Sungai Besar dan 6969 undi di di Kuala Kangsar namun peratusan undi BN hanya sebanyak 53.01 peratus di Sungai Besar dan 53.81 peratus di Kuala Kangsar, katanya.

Keadaan ini berbeza kerana pada pilihan raya umum tahun 2013, BN menang dengan 50.53 peratus di Sungai Besar dan 51.14 peratus di Kuala Kangsar yang membuktikan peningkatan undi BN yang kecil, katanya.

Mengulas lanjut, PRM juga berpendapat bahawa data-data semasa tersebut menunjukkan rakyat masih tidak berpuas hati dengan parti pemerintah.

"Rakyat menganggap BN tidak berkemampuan dan berkecekapan kerana gagal mengawal kenaikan harga barang, rasuah, penyelewengan kuasa, boros membelanjakan wang cukai rakyat dan autokratik.

"BN juga dilihat memainkan sentimen perkauman dan keagamaan ekstrim untuk mengalihkan tumpuan rakyat terhadap ketidakcekapan dan ketamakan pemerintah," jelasnya.

Oleh itu, apa yang rakyat mahukan ialah tenaga pembangkang yang bersatu dan mampu menggantikan kerajaan persekutuan yang sedia ada.


Tiada ulasan: