Sabtu, 25 Jun 2016

Hanya mahkamah Syariah boleh dengar cabaran SIS terhadap fatwa, kata hakim mahkamah sivil

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kajian undang-undang Sister in Islam (SIS) terhadap fatwa diwarta di Selangor yang mengisytihar kumpulan itu sesat.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah berkata, hanya mahkamah Syariah yang mempunyai kuasa untuk mengkaji permohonan berkenaan.

Katanya, perkara utama kes SIS adalah fatwa atau penentuan undang-undang Islam.

“Saya berpandangan mahkamah ini tiada kuasa untuk memberikan penyelesaian yang dicari oleh plaintif dalam kajian undang-undang ini.

“Pada pendapat saya, ini adalah bidang kuasa mahkamah Syariah,” katanya.

Hakim tidak mengarah SIS atau dua lagi pemohon untuk membayar kos kerana kes itu berkepentingan awam.

Pada 31 Oktober 2014, SIS memfailkan kajian undang-undang terhadap fatwa diwarta di Selangor yang mengisytiharkan kumpulan itu sebagai sesat berdasarkan pandangan mereka (SIS) terhadap liberalisme dan pluralisme.

Fatwa itu juga mengisytiharkan sebagai haram sebarang percetakan yang mengandungi elemen liberalisme dan pluralisme serta boleh dirampas oleh pihak berkuasa agama.

Ia juga mahu pengawal Internet negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya memantau dan menyekat laman web media sosial yang mempunyai kandungan anti-Islam.

SIS Forum (Malaysia), Zainah Mahfoozah Anwar yang juga salah seorang pengasas SIS dan Datuk Zaid Ibrahim menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan kerajaan negeri sebagai responden dalam permohonan mereka.

SIS Forum (Malaysia) adalah syarikat yang menguruskan SIS dan peguamnya, Malik Imtiaz Sarwar sebelum ini berhujah di mahkamah bahawa ia adalah badan yang di luar sistem perundangan Islam.

Pada 10 Disember 2014, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Asmabi Mohamad membenarkan permohonan SIS untuk mendapatkan kajian undang-undang.


Tiada ulasan: