Jumaat, 17 Jun 2016

GST tak naik hanya kenyataan manis menteri

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
 
 
SHAH ALAM - Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah merupakan kata-kata manis menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan perlu mengaku terlebih dahulu bahawa GST merupakan penyebab kepada kenaikan harga barang sebagai jaminan terhadap kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

"Kalau nak kita yakin dengan dia, maka dia kena mengaku dulu GST ini punca kepada kenaikan harga barang.

"Jika sebaliknya, tiada jaminan GST tidak akan naik selepas ini," katanya kepada Sinar Online.

Khalid berkata demikian merujuk kepada kenyataan Hamzah yang mengatakan kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan kadar GST.

[ARTIKEL BERKAITAN: Menteri beri jaminan GST tidak naik]

Dalam pada itu, Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam turut berkata, kenyataan Hamzah tersebut menunjukkan BN kini terdesak untuk meraih undi.

"Mereka lihat apa yang dijanjikan dulu bahawa GST akan membuatkan harga barangan turun telah disedari rakyat yang ia hanya satu pembohongan.

"Oleh itu, mereka sedang berusaha untuk yakinkan rakyat bahawa walau apa pun berlaku mereka tidak akan naikkan GST.

"Mereka tahu rakyat sedang marah dengan GST dan sebab itu kenyataan seperti itu dikeluarkan," katanya.
Tambah Khalid, dalam kenyataan tersebut juga turut menyatakan bahawa kerajaan sendiri tidak pernah berbincang mengenai perkara tersebut.

"Maka tiada sebarang jaminan GST tidak akan dinaikkan selepas ini," katanya

Tiada ulasan: