Selasa, 21 Jun 2016

Gesa Mueller minta maaf, dakwa bekas pekerja 'tidur'

Jasmin Noordin, Mueller


GEORGETOWN - Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS), Christopher Mueller  digesa meminta maaf di atas dakwaan 6,000 kakitangan syarikat penerbangan itu yang diberhentikan kerja kerana sering tidur dalam waktu bekerja.

Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Jasmin Noordin berkata, kenyataan Mueller sebelum ini melampau dan seolah-olah tidak memahami budaya kerja di negara ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Jelutong berkata,kenyataan Mueller itu mengguris hati ramai pihak terutama mereka dan keluarga bekas pekerja MAS yang telah diberhentikan kerja sebelum ini.

“Muller tak sepatutnya bercakap begitu tanpa beliau mengetahui hakikat sebenarnya.Ini menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan yang jauh tersasar dari hakikat yang sebenar.

“Memang ada benarnya dakwaan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) bahawa Mueller adalah orang luar dan beliau tidak faham budaya kerja setempat," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Mueller didakwa sebelum ini berkata, penamatan khidmat kira-kira 6,000 kakitangan syarikat penerbangan berkenaan kerana tidak mempunyai sebarang kerja dan tidur ketika waktu kerja.‎

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎CEO MAS disifatkan sebagai egoistik]

Dalam pada itu, Jasmin turut menasihati Mueller agar mengambil tahu tentang budaya kerja masyarakat di negara ini supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang menyimpang dari kebenaran.

“Mungkin disebabkan terlalu ego untuk ambil tahu keadaan dan budaya kerja warga MAS menyebabkan beliau saya lihat gagal untuk menjadikan syarikat penerbangan itu lebih baik dan berdaya saing.

“Saya juga sarankan kepada kerajaan agar memilih pengarah urusan MAS di kalangan rakyat tempatan selepas peletakan jawatan Muller pada September ini.

"Saya yakin, ramai anak tempatan yang mempunyai kepakaran dan kebolehan untuk menerajui MAS untuk masa depan yang lebih baik dan cemerlang,” katanya.


Tiada ulasan: